Perkara penting yang anda harus tahu tentang Simpanan Shariah KWSP

0
653
Sumber gambar: mStar
Sumber gambar: mStar

Apakah Simpanan Shariah?
Simpanan Shariah merupakan satu inisiatif oleh KWSP bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut Syariah.

 

Mengapakah Simpanan Shariah diperkenalkan?

Simpanan Shariah diperkenalkan kerana terdapat permintaan di kalangan ahli KWSP supaya akaun mereka diuruskan dan dilaburkan mengikut Syariah. Selain itu, berdasarkan hasil kaji selidik rundingan ahli ke atas inisiatif penambahbaikan simpanan persaraan ahli KWSP yang telah dijalankan pada April 2015, sebanyak 71% responden (ahli) bersetuju pilihan simpanan persaraan patuh Syariah diperkenalkan.

 

Bilakah inisiatif ini mula diperkenalkan?

Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 di mana ahli boleh mendaftar pilihan Simpanan Shariah 2017 (tarikh kuat kuasa 1 Januari 2017) dengan peruntukan dana syariah permulaan sebanyak RM100 bilion.

 

Berapakah jumlah ahli KWSP yang telah bertukar ke Simpanan Shariah berkuat kuasa pada 1 Januari 2017?

Seramai 635,037 ahli KWSP telah bertukar ke Simpanan Shariah berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

 

Berapakah dana syariah yang telah diperuntukan bagi pendaftaran Simpanan Shariah 2018 (tarikh kuat kuasa 1 Januari 2018)?
Sebanyak RM50 bilion dana syariah telah diperuntukan bagi ahli mendaftar pilihan Simpanan Shariah 2018. Bagi melayakkan ahli untuk mendapatkan Simpanan Shariah 2018, ahli mestilah mendaftar pilihan Simpanan Shariah selewat-lewatnya pada 24 Disember 2017, tertakluk kepada ketersediaan peruntukkan dana syariah tersebut.

 

CIRI – CIRI

Apakah ciri-ciri utama Simpanan Shariah?

  • Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih Simpanan Shariah;
  • Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah di mana Lembaga KWSP dilantik dan diamanahkan untuk bertindak bagi pihak ahli untuk menguruskan dan melaburkan simpanan ahli mengikut Syariah;
  • Simpanan Shariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah, KWSP;
  • Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP; dan
  • Ahli KWSP yang memilih Simpanan Shariah tidak boleh membatalkan pilihannya selepas tarikh kuat kuasa dan kembali ke Simpanan Konvensional.

 

Bolehkah ahli KWSP mempunyai dua akaun KWSP – Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah?
Tidak, ahli KWSP hanya boleh mempunyai satu akaun sahaja sama ada Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah.

 

Apakah itu Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) dan siapakah Ahli JKPS?
JKPS adalah sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Lembaga KWSP di bawah seksyen 23A Akta KWSP 1991. JKPS merupakan pihak berkuasa bagi penentuan perkara Syariah dalam memastikan pengurusan Simpanan Shariah mematuhi prinsip Syariah.
JKPS hendaklah dianggotai oleh tidak kurang daripada tiga orang yang berkelayakan dalam bidang Syariah atau yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam bidang Syariah dan perbankan, kewangan, undang-undang atau apa-apa disiplin lain yang berkaitan.
Pada masa ini, JKPS dianggotai oleh lima orang yang berkelayakan dalam bidang Syariah, iaitu:

Sumber : KWSP
Sumber : KWSP

 

PENDAFTARAN

 Ahli perlu hadir ke mana-mana kaunter KWSP bermula 8.8.2016 dan membawa bersama Mykad atau Pasport (untuk bukan warganegara) untuk pengesahan identiti ahli. Ahli perlu menyerahkan dokumen pengenalan diri dan menurunkan cap ibu jari pada Akad Simpanan Shariah yang telah dicetak. Buat masa ini, pendaftaran secara atas talian tidak disediakan.

 

Bagaimanakah tarikh kuat kuasa ditentukan?

  • Tarikh kuat kuasa bagi ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada:
    • Peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang akan diperolehi oleh ahli berdasarkan giliran; dan
    • Apa-apa syarat lain yang ditentukan oleh Lembaga KWSP.
  • Tarikh kuat kuasa pilihan adalah pada 1 Januari mengikut tahun peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang diluluskan kepada ahli.
  • Apabila pendaftaran Simpanan Shariah telah memenuhi kuota dana yang diperuntukkan pada tahun tersebut, ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah tetapi belum berjaya memperolehi peruntukan dana tersebut, perlu menunggu peruntukan dana patuh Syariah tahunan seterusnya.

Bagaimanakah cara untuk saya mengetahui jika permohonan saya untuk memilih Simpanan Shariah telah berjaya?

  • Permohonan ahli yang berjaya akan menerima Notis dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) pengesahan tarikh kuat kuasa tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah.
  • Sekiranya ahli tidak menerima sebarang makluman berkenaan tarikh kuat kuasa ianya disebabkan oleh:
    • Kuota dana patuh Syariah yang diperuntukkan telah dipenuhi dan ahli masih dalam senarai menunggu; dan/atau
    • Maklumat perhubungan ahli tidak dikemaskini.
  • Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
  1. Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922-6000; atau
  2. Layari www.kwsp.gov.my.

 

CARUMAN

 

Jika akaun saya ialah Simpanan Shariah, adakah penyata tahunan saya akan berbeza?
Tidak, ahli akan menerima penyata tahunan yang sama. Penyata tahunan tersebut akan menyatakan status akaun ahli dan tarikh kuat kuasa Simpanan Shariah.

 

Bolehkah saya mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun?
Ya, ahli boleh mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun.

 

MAJIKAN

Adakah saya perlu memaklumkan kepada majikan sekiranya saya membuat pilihan Simpanan Shariah?

Tidak, ahli tidak perlu memaklumkan kepada majikan sekiranya ahli memilih Simpanan Shariah.

 

Adakah majikan perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan untuk pekerja mereka yang membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, majikan tidak perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan untuk pekerja yang memilih Simpanan Shariah.

 

Adakah majikan perlu mengisi Borang A secara berasingan? Adakah terdapat borang yang khusus untuk majikan?
Tidak, majikan hanya perlu mengisi Borang A seperti proses yang sedia ada dan tiada borang tambahan atau perubahan yang perlu dibuat oleh majikan.

 

Adakah terdapat peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah baru yang harus dipatuhi oleh majikan berkenaan caruman jika pekerja mereka ingin membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, majikan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah caruman yang sedia ada.

 

Adakah terdapat sebarang kos tambahan yang akan dikenakan terhadap majikan sekiranya pekerja mereka ingin membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, tiada sebarang kos tambahan akan dikenakan ke atas majikan sekiranya pekerja mereka ingin memilih Simpanan Shariah.

 

Adakah terdapat sebarang caj yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal membayar caruman?
Caj yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal mencarum samada pekerja-pekerjanya memilih Simpanan Shariah atau tidak adalah seperti berikut:

  • Caj lewat bayar: Kadar dividen terendah antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi setiap tahun berkenaan dengan ditambah 1%. (“Caj lewat bayar” menggantikan “faedah”)
  • Dividen: Kadar dividen terendah antara kadar dividen Simpanan Konvensional dan kadar dividen Simpanan Shariah.

Sebelum ada kadar dividen Simpanan Shariah, kadar dividen KWSP yang diisytiharkan bagi setiap tahun berkenaan hendaklah dirujuk bagi pengiraan caj lewat bayar dan dividen.

 

PENGELUARAN

Adakah saya dibenarkan untuk menggunakan wang pengeluaran saya daripada Simpanan Shariah untuk membayar pinjaman perumahan konvensional atau terhad kepada pinjaman perumahan Islamik sahaja?

Ya, ahli dibenarkan untuk menggunakan wang pengeluaran untuk pembiayaan pinjaman perumahan konvensional dan Islamik; tertakluk kepada syarat pengeluaran perumahan yang berkuat kuasa.

 

Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap pemindahan wang di bawah pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) atau yang sedia ada?
Ahli masih tertakluk kepada proses pemindahan wang di bawah pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) yang berkuat kuasa. Tetapi, bagi ahli yang memilih Simpanan Shariah ahli hanya dibenarkan melabur dalam dana patuh Syariah yang diluluskan oleh KWSP.

 

Adakah dana-dana amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) termasuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) patuh Syariah? Adakah ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pelaburan di dalam dana amanah yang diuruskan oleh ASNB?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 telah memutuskan hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Ahli Simpanan Shariah boleh merujuk kepada Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan penasihat Syariah yang dilantik oleh IPD bagi mendapatkan penjelasan mengenai pematuhan Syariah mana-mana dana patuh Syariah yang tersenarai. Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP tidak akan memberi sebarang perakuan ke atas mana-mana dana patuh Syariah yang tersenarai.

 

Adakah ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pengeluaran kesihatan bagi tujuan pembayaran kepada Rumah Penjagaan yang dikendalikan oleh bukan Islam?
Ya, ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pengeluaran kesihatan bagi tujuan tersebut dan ianya tidak bertentangan dengan Syariah.

 

PELABURAN

Apakah konsep pelaburan yang diguna pakai oleh KWSP ketika ini?
Strategi pelaburan KWSP adalah berteraskan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif pelaburannya untuk:

  • Melindungi nilai wang simpanan ahli
  • Memberi nilai tambah kepada wang simpanan ahli.

 

KWSP mematuhi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan polisi pelaburan yang melarang KWSP daripada melabur di dalam sektor-sektor yang menggalakkan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol/arak atau membuat, mengedar dan memasarkan senjata api atau peralatan ketenteraan.

Di samping itu, KWSP tidak mempunyai sebarang pendedahan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia.

 

Bagaimanakah KWSP memastikan Simpanan Shariah yang bakal ditawarkan kekal statusnya sebagai patuh Syariah?
KWSP akan mewujudkan rangka kerja tadbir urus Syariah yang komprehensif bagi memastikan operasi dan aktiviti pelaburan Simpanan Shariah mematuhi garis panduan dan parameter pelaburan patuh Syariah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) juga akan memberikan pernyataan dan laporan pematuhan Syariah berkaitan Simpanan Shariah bagi setiap tahun kewangan sebagai sebahagian daripada keperluan tadbir urus korporat KWSP.

 

SHARIAH

Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap polisi penamaan bagi Simpanan Shariah?
Penamaan bagi ahli Simpanan Shariah adalah sama seperti polisi penamaan yang sedia ada termasuklah penama bagi ahli beragama Islam, hanyalah bertindak sebagai wasi/pentadbir yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Syariah manakala penama bagi ahli bukan beragama Islam adalah pemilik mutlak/benefisiari, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS).

 

Adakah KWSP akan membuat pembayaran zakat untuk simpanan ahli? Adakah ahli perlu membayar zakat selepas membuat pengeluaran Simpanan Shariah? Adakah kadar dividen yang diagihkan telah dikenakan zakat?
KWSP tidak akan mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP ahli termasuk dividen kerana ahli KWSP tidak mempunyai pemilikan sempurna terhadap simpanan KWSP mereka yang merupakan salah satu syarat wajib mengeluarkan zakat.
Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) memutuskan pemilikan sempurna ahli KWSP ke atas simpanannya adalah apabila simpanan tersebut layak dikeluarkan dan boleh digunakan oleh ahli tanpa sebarang sekatan. Ahli KWSP beragama Islam wajib mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP yang layak dikeluarkan sekiranya mencapai nisab (kadar minimum yang bersamaan dengan nilai semasa 85 gram emas).
Jenis-jenis pengeluaran yang tertakluk kepada pembayaran zakat adalah:

  • Pengeluaran Umur 50 Tahun
  • Pengeluaran Umur 55 Tahun
  • Pengeluaran Meninggalkan Negara
  • Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
  • Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta

 

Apakah perbezaan di antara Simpanan Shariah yang ditawarkan oleh KWSP berbanding Tabung Haji?

  • Dari segi konsep, Simpanan Shariah dan akaun Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sama di mana pengoperasian serta pelaburan akaunnya adalah tertakluk kepada prinsip Syariah serta berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh jawatankuasa Syariah masing-masing.
  • Walau bagaimanapun, KWSP dan Tabung Haji (TH) mempunyai objektif penubuhan yang berbeza. Peranan Tabung Haji (TH) adalah sebagai pengelola dana jemaah haji Malaysia yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada jemaah haji serta mengurus simpanan pendeposit manakala KWSP ditubuhkan untuk mengurus simpanan persaraan ahli bagi menyediakan faedah persaraan.
  • Setiap dana mempunyai perbezaan dari segi objektif, strategi dan risiko, oleh itu perbandingan terus ke atas kadar dividen Simpanan Shariah dengan dana-dana yang lain adalah tidak bersesuaian.

 

Adakah KWSP menubuhkan pasukan pengurusan yang lain untuk Simpanan Shariah?
Tidak, pengurusan yang sama akan menguruskan Simpanan Shariah. Walau bagaimanapun, terdapat satu rangka kerja tadbir urus Syariah yang terdiri daripada Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) dan fungsi-fungsi pematuhan Syariah sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga KWSP untuk memastikan pengoperasian dan pengurusan pelaburan Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berlandaskan prinsip Syariah.

Sumber : KWSP
Sumber : KWSP

 

Sumber : Simpanan Shariah KWSP

Comments

comments