Nak mula melabur dalam saham? Ini 3 langkah mudah untuk anda bermula

0
1380

 

 

Akhir-akhir ini, ramai yang mula berminat untuk melabur dalam pasaran saham dan nak tahu bagaimana caranya untuk bermula. Oleh itu kami hendak kongsikan di sini langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memulakan pelaburan saham anda.

 

  1. Buka akaun CDS (Central Depository System) dan akaun dagangan saham (trading account)

Caranya adalah dengan pergi ke mana-mana bank pelaburan atau syarikat broker saham pilihan anda. Antaranya pilihan yang ada adalah Maybank Investment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan BIMB Securities Sdn Bhd.

 

Dokumen yang diperlukan:

  1. Salinan kad pengenalan
  2. Bayaran pembukaan akaun sebanyak RM10.60 (termasuk GST). Sesetengah bank pelaburan atau syarikat broker saham mungkin memilih untuk tidak mengenakan caj ini.
  3. Salinan penyata bank atau muka depan buku akaun yang menunjukkan nama anda dan no. akaun bank. Cetakan dari perbankan internet seperti Maybank2u dan CIMBClicks juga diterima dengan syarat mendapat cop rasmi daripada bank tersebut untuk pengesahan. Tujuan dokumen ini adalah untuk mengesahkan no. akaun bank yang akan digunakan bagi tujuan untuk memasukkan hasil jualan saham nanti.

 

Apakah akaun CDS ini sebenarnya?

  1. Ia berfungsi untuk menyimpan saham yang anda miliki. Segala keluar masuk saham akan direkod di sini. Kalau akaun bank digunakan untuk menyimpan duit, akaun CDS pula untuk menyimpan saham.
  2. Diuruskan oleh Bursa Malaysia

 

Ada 2 jenis akaun CDS yang perlu anda tahu:

A.Langsung (Direct)
  • Akaun dibuka di bawah nama anda
  • Sebarang dividen akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank anda
  • Sebarang komunikasi daripada syarikat kepada pemegang saham seperti laporan tahunan akan dihantar terus ke alamat anda
  • Anda akan dijemput dan layak untuk hadir ke mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat yang anda laburi
  • Akaun ini boleh digunakan untuk memohon IPO awam, IPO MITI dan ESOS

B. Nominee
  • Akaun dibuka di bawah nama bank pelaburan/ syarikat broker sebagai wakil anda
  • Sebarang dividen akan dimasukkan dahulu ke akaun bank pelaburan/ syarikat broker anda. Kemudian baru mereka akan masukkan ke akaun bank anda
  • Sebarang komunikasi daripada syarikat kepada pemegang saham seperti laporan tahunan akan dihantar kepada bank pelaburan/ syarikat broker anda
  • Anda tidak boleh hadir ke mesyuarat agung tahunan (AGM)
  • Akaun ini TIDAK boleh digunakan untuk memohon IPO awam, IPO MITI dan ESOS

 

  1. Pilih remiser atau dealer yang akan menjaga akaun saham anda

 

Sekiranya anda tidak mempunyai pilihan sendiri, bank pelaburan atau syarikat broker anda akan melantik mana-mana remiser atau dealer untuk anda.

 

Apakah peranan remiser/dealer?:

  • Remiser/dealer mestilah berkelayakan dengan mempunyai lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC)
  • Remiser/dealer boleh memberi nasihat kepada anda untuk membuat pilihan saham yang mahu dibeli. Tetapi keputusan akhir mesti dibuat sendiri oleh anda
  • Selain melakukan jual beli saham sendiri secara online, anda juga boleh meminta remiser/dealer untuk melakukan transaksi bagi pihak anda
  • Remiser/dealer akan membantu urusan untuk memasukkan atau mengeluarkan duit daripada akaun saham anda

 

 

  1. Membeli dan menjual saham

 

Setelah akaun CDS dan akaun dagangan saham anda selamat dibuka, anda sudah boleh mula melakukan urusan jual beli saham. Anda boleh melakukan transaksi jual beli sendiri secara atas talian atau meminta remiser/dealer untuk melakukannya bagi pihak anda.

 

 

Itulah sahaja 3 langkah mudah untuk membolehkan anda mula melabur dalam pasaran saham. Mudah kan? Memang proses untuk membuka akaun dan mula membeli saham adalah mudah, tetapi cabaran sebenar adalah untuk mengenalpasti saham mana yang bagus dan berkualiti yang dapat memberikan keuntungan kepada kita.

 

Dalam Bursa Malaysia sendiri terdapat 901 buah syarikat yang boleh dibeli sahamnya dan daripada jumlah ini, 676 diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Dalam beratus syarikat yang tersenarai, ada yang bagus dan berpotensi memberikan keuntungan dan ada juga yang tidak bagus dan boleh mendatangkan kerugian kepada pelaburan kita.

 

Oleh itu, kita jangan melihat pasaran saham dari segi keuntungan semata-mata, tetapi kita juga mesti mengambil kira sebarang risiko kerugian yang boleh berlaku.

 

Sebab itu sebelum kita membeli mana-mana saham, kita mesti terlebih dahulu tahu cara untuk memilih syarikat yang bagus dan membuat kajian dengan teliti.

 

Dalam pasaran saham, potensi keuntungan memang tinggi, ada harga saham yang boleh melonjak sehingga beratus peratus dalam setahun. Tetapi pada masa yang sama, ada saham yang boleh menjadi kosong harganya dan menyebabkan kita kerugian semua duit pelaburan kita.

Itulah lumrah dalam pelaburan, apabila pelaburan yang berpotensi memberikan keuntungan yang tinggi biasanya adalah tinggi risikonya.

Cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko adalah dengan mempunyai ilmu secukupnya sebelum bertindak terjun dalam dunia saham ini.

Comments

comments