Macam mana tanah yang kita miliki boleh hilang hakmilik?

0
273

Baru-baru ni kita dikejutkan dengan berita tanah FELDA. Bila dah kecoh berita macam ni, timbul satu persoalan.

Macam mana tanah yang kita miliki boleh hilang hak milik?

Jemput hadamkan perkongsian Tuan Salkukhairi Abd Sukor ini kalau korang serius nak tahu.

Sehari dua ini tular tentang kisah FELDA yang dikatakan hilang hakmilik tanah mereka di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur tanpa disedari oleh pihak pengurusan mereka.

Sebenarnya perkara ini bukan sahaja berlaku kepada tanah milik sesebuah organisasi, tetapi juga biasa berlaku kepada tanah milik individu.

Berdasarkan pengalaman saya, di sini saya kongsi kan kemungkinan-kemungkinan boleh berlakunya keadaan sesuatu tanah itu boleh hilang hakmilik.

 

Kemungkinan #1 : Unsur penipuan 

Wujudnya unsur-unsur penipuan, desakan atau salah nyata daripada mana-mana pihak terhadap tuan tanah sehingga menyebabkan tuan tanah menandatangani dokumen pindah milik dan menyerahkan geran tanah asal dan lain-lain dokumen kepada pihak tersebut dan seterusnya pindah milik didaftarkan kepada nama pihak-pihak tertentu.

 

Kemungkinan #2 : Pemalsuan tandatangan

Wujudnya pemalsuan tandatangan tuan tanah pada dokumen pindah milik ataupun pemalsuan geran tanah atau lain-lain dokumen pindah milik yang menyebabkan pindah milik dapat didaftarkan kepada pihak-pihak tertentu.

 

Kemungkinan #3 : Surat kuasa wakil penuh

Tuan tanah memberikan surat kuasa wakil penuh (Full PA) kepada pihak-pihak tertentu sama ada secara mereka faham/sedar atau tidak faham/sedar sehingga memberi kuasa kepada pemegang wakil kuasa untuk memindah milikkan tanah tersebut kepada mana-mana pihak.

 

Kemungkinan #4 : Berhutang 

Tuan tanah menggadaikan tanahnya kepada mana-mana pihak seperti bank atau individu dan telah menandatangani dokumen gadaian sebagai cagaran kepada hutang yang diberikan, dan akibat kegagalan tuan tanah menjelaskan hutang tersebut, tanahnya dilelong dan seterusnya dipindahmilikkan kepada pihak lain yang berjaya dalam lelongan.

 

Kemungkinan #5 : Tunggakan cukai tanah

Tuan tanah gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah atau tuan tanah melanggar apa-apa syarat nyata pada tanah tersebut sehingga menyebabkan tanahnya “dirampas” oleh kerajaan (melalui pejabat tanah) dan kemudiannya diserahkan oleh kerajaan kepada pihak lain.

 

Kemungkinan #6 : Pecah amanah

Pecah amanah oleh pihak-pihak tertentu seperti pemegang amanah, termasuklah peguam sebagai stakeholder (pemegang pertaruhan), yang telah mendaftarkan pindah milik tersebut kepada pihak-pihak tertentu walaupun sepatutnya pindah milik tersebut tidak sepatutnya dibuat/ belum boleh didaftarkan lagi di pejabat tanah.

 

Kemungkinan #7 : Kesilapan teknikal 

Kesilapan teknikal di pihak pejabat tanah dalam merekodkan sebarang urusniaga tanah sehingga menyebabkan tanah tersebut didaftarkan kepada nama pihak lain.

 

Kemungkinan #8 : Tanah diambil 

Tanah anda di ambil oleh kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah dan tanpa anda sedari atau mungkin disebabkan anda tidak menerima sebarang notis tentang pengambilan tersebut, tanah anda telah diserahkan kepada pihak lain atau digunakan oleh pihak lain.

 

Ini antara kemungkinan-kemungkinan berlakunya keadaan di mana tanah seseorang boleh hilang hakmilik tanpa disedari oleh tuan tanah.

Justeru nasihat saya, selalulah buat carian rasmi terhadap status tanah anda dari masa ke semasa.

Sebab walaupun mungkin anda masih pegang geran asal tanah anda, tidak mustahil tanah anda mungkin boleh terlepas ke tangan pihak lain tanpa anda sedari.

Jadi, berwaspada lah selalu.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Comments

comments