Pemaju lambat siapkan projek rumah : Macam mana nak tuntut duit pampasan? (Part 1)

0
66

Bayangkan bila korang dah ternanti-nanti tunggu rumah siap, namun rupa-rupanya pemaju lambat siapkan projek rumah. Mestilah sedih kan?

Korang mesti nak tahu apa yang korang boleh buat bila berhadapan dengan situasi ni.

Kami nak kongsikan tulisan Tuan Jimmy Haryzul tentang topik ni. Jom kita hadamkan sama-sama.

Seperti dijanjikan, aku share sedikit info mengenai Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dulu. Sebab nak bantu kapitalis-kapitalis yang lain mudah faham, maka aku buat 2 bahagian, part 1 lebih kepada info asas.

Part 2 trick-trick yang perlu korang tahu. Part 2 ni yang penting.

Kenapa korang kena bawa kes ke Tribunal?

Korang perlu bawa kes ke Tribunal bila kau rasa pemaju tidak mahu mematuhi terma-terma perjanjian dalam SPA.
Lebih baik kau bincang dulu dengan pemaju sebelum bawa kes ke tribunal. Kalau tak jumpa kata sepakat, baru bawa ke Tribunal okay.

Berikut aku senaraikan pelbagai jenis persoalan yang bermain diminda aku (dengan jawapannya sekali) semasa aku dan rakan-rakan nak bawa kes ke Tribunal ni.

 

Macam mana nak kira jumlah pampasan kelewatan?

Contoh cara kira jumlah pampasan:

(A) Pampasan kelewatan di atas unit rumah
= (bilangan hari lewat/365) x 10% x Harga SPA

Note: Ada yang penalti pampasan 8% setahun dan ada yang 10% setahun. Rujuk terma syarat ini dalam SPA korang

(B)Pampasan kelewatan ke atas kemudahan fasiliti (common facilities)
= 20% x (bilangan hari/365) x 10% x Harga SPA)

So jumlah tuntutan kelewatan adalah
= (A)+ ( B )

 

Tribunal ni susah nak apply?

Senang je sebenarnya. Korang boleh download Borang permohonan di website KPKT atau terus ke mana-mana cawangan untuk ambil borang.

Proses-proses am:

  1. Isikan borang permohonan (4 salinan perlu dihantar)
  2.  Sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan (1 salinan sudah cukup)
  3. Hantar ke mana-mana cawangan Tribunal
  4. Office Tribunal akan berikan tarikh untuk hadiri pendengaran kes (hearing session)
  5. Hantar satu salinan borang kepada pemaju dan satu salinan lagi kepada pihak bank
  6. Hadiri sesi pendengaran kes (sesi soal jawab hujah)
  7. Dapat keputusan sejurus selepas sesi pendengaran
  8. Dapat duit pampasan dari pemaju dalam masa 30 hari (kalau menang)

 

Dokumen apa perlu dihantar semasa permohonan?

DOKUMEN WAJIB:

  • Borang 1 untuk apply – 4 salinan
  • 1 Salinan SPA (Sale and Purchase Agreement)
  • 1 Salinan surat Serahan Milikan Kosong (vacant Possession)
  • 1 Salinan Perakuan Siap Dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance @ CCC)

DOKUMEN SOKONGAN:

  • 1 Salinan borang tempahan (booking form)
  • Dan segala bukti lain yang ada (surat, sampul surat, email, resit dan lain-lain)


Kalau dalam SPA ada 2 nama macam mana?

Bawa surat wakil bila hadiri sesi pendengaran tersebut. Tapi masa hantar borang permohonan tu, tandatangan penama tu wajib ada.


Berapa kena bayar?

Untuk buat permohonan, hanya perlu bayar RM 10.00 je pun

 

Dimana nak hadiri Sesi pendengaran tu?

Dimana-mana cawangan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

 

Kalau jauh macam mana?

Dimana kau hantar borang permohonan, dicawangan itulah yang perlu kau hadiri sesi pendengaran kes. Tengok cawangan mana yang korang dekatlah. Macam kami hadir di Putrajaya punya.


Kena lantik peguam?

Tak perlu. Hari tu kaulah bakal ‘jadi peguam’ untuk pertahan diri kau. Kau kena bersedia dan tahu apa yang kau nak pertahankan. Kena ada fakta.

 

Aku tak tahu macam mana nak menjawab depan hakim nanti?

Baca SPA dan belajar

 

Bahasa apa pakai? Bahasa Malaysia? Atau English?

Aku tengok semasa sesi pendengaran bahasa apa pun boleh. Kalau korang kurang faham, hakim akan bantu korang fahamkan. Jadi jangan takut. Melainkan kalau korang tetiba berbahasa Sepanyol masa tu memang la sepatah haram hakim tak faham.


 

Kena pergi banyak kali ke?

Biasanya sekali sahaja datang sesi pendengaran kes. Tapi ada kemungkinan 2 kali kalau pada sesi pendengaran pertama tu tak capai kata sepakat antara kau dan pemaju.

 

Banyak buang masa?

Taklah.

Satu hari guna untuk Isi borang, kemudian hantar borang.

Satu hari lain korang hadir ke sesi pendengaran. Dan terus dapat keputusan.

2 hari kira settle dah.

 

Mesti lambat kan dapat keputusan?

Tidak. Sejurus selepas sesi pendengaran dah boleh dapat keputusan hari tu jugak. Ada sesi pendengaran yang habis awal, ada juga yang habis lewat sehingga 5pm. Bergantung pada jumlah kes yang hakim perlu uruskan. Dinasihatkan yang mana kerja ofis tu minta jelah cuti 1 hari terus.

 

Keputusan akan sama je ke untuk setiap kes?

Keputusan adalah berbeza-beza ikut pandangan hakim. Boleh jadi owner lain dapat banyak, dan kau dapat kurang. Hakim pun berbeza-beza setiap sesi pendengaran. Berdoalah dapat hakim yang baik.

 

Bila pemaju kena bayar kalau kita menang?

Kalau menang, pemaju diberi masa dalam 30 hari untuk membuat bayar seperti yang diputuskan oleh Tribunal. Kalau tak kena penalti (10% kalau tak silap ikut daily rate) dari jumlah pampasan yang perlu dibayar

 

Kalau pemaju taknak bayar?

Kau boleh buat tindakan sivil dengan bawa kes ke mahkamah. Kau buat laporan pada Tribunal maklumkan pemaju gagal bayar, Tribunal akan daftarkan keputusan kes kau di mahkamah Majistret/Mahkamah Seksyen. Keputusan tu akan dianggap sebagai perintah mahkamah.

Tapi kalau kes dah masuk mahkamah memang lecehlah. Cuba rujuk peguam korang.
(Yang ni aku baca di website KPKT je. Aku tak pernah lalui lagi).

 

Kalau pemaju rumah tu Pemaju Cap Ayam tak berlesen, boleh buat tuntutan juga ke?

Tak boleh. Tribunal layan kes pemaju yang berlesen sahaja. Mana yang pernah terkena dengan pemaju Allupa dan Deebeeai tu korang kena cek dorang berlesen sebagai pemaju perumahan atau tidak.

 

Berapa maximum tuntutan yang boleh dituntut?

Maximum RM 50,000.
Aku dengar kalau nak mohon lebih pun boleh, tapi maksimum Tribunal boleh bagi keputusan RM 50K sahaja melainkan kedua-dua pihak setuju untuk berikan kuasa pada Tribunal untuk mendengar kes tuntutan lebih dari RM50K (sumber: website kpkt).

 

Ada tempoh tamat ke untuk aku mohon ke Tribunal ni?

Ada. Korang mestilah tidak lebih dari masa 12 bulan dari tarikh tamat tempoh Liabiliti Kecacatan (Defect Liability Period) atau 12 bulan dari tarikh CCC dikeluarkan.

Nampak mudah kan?
Part 2 nanti aku tunjukkan bagaimana korang bakal ditipu pemaju dan bakal rugi beribu-ribu RM!

Share post ni untuk bantu rakan-rakan kapitalis kita yang sedang ‘tersontot’ dengan pemaju tu
.
NAK SAMBUNG TAK PART 2?

Comments

comments