Lima perkara penting yang anda perlu lakukan untuk mudahkan urusan pusaka

0
2217

Kematian itu pasti. Namun, selagi kita bernafas kita tidak akan berhenti berusaha mencapai impian dan melalui masa yang terus berlalu. Semasa kita hidup, selagi mampu dan terdaya kita boleh melakukan banyak perkara sendiri. Adakalanya dibantu orang lain.

Bila kita sudah tiada, siapa yang akan melakukan perkara-perkara penting bagi pihak diri ini? Salah satunya ialah pengurusan harta pusaka. Harta yang dimiliki oleh si mati semasa hidupnya menjadi harta pusaka yang akan diagihkan kepada waris.

Pada masa itu, jasad yang kaku tidak mampu lagi berkata-kata dan sirna di alam fana ini. Hanya tinggal kenangan dan harta (jika ada) untuk waris yang berhak.

Bagaimana ingin memastikan urusan harta pusaka berjalan lancar, sehabis baik mengikut perancangan kita semasa hidup? Seorang bapa sudah menyediakan dana untuk pendidikan anak. Seorang ahli perniagaan sudah menetapkan siapa pelapis yang akan meneruskan perniagaannya. Ini contoh sahaja.

Lima perkara berikut perlu anda lakukan untuk memudahkan urusan harta pusaka:

 

Perkara #1 Simpan dokumen penting di tempat yang selamat

Failkan dan simpan dokumen berkaitan harta dan kewangan anda di tempat yang selamat dan mudah dicari oleh waris seperti pasangan atau anak yang anda percayai. Dokumen seperti geran tanah, geran kenderaan, buku akaun bank, penyata bank dan surat perjanjian hendaklah dikumpulkan.

Semua dokumen ini menjadi rujukan penting untuk proses permohonan pentadbiran harta pusaka sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi.

Perkara #2 Maklumkan kepada pasangan tentang kad debit dan kad kredit yang anda miliki

Kad debit berfungsi sebagai kad tunai dan tiada hutang bakal tertunggak. Kad kredit pula menggunakan kemudahan bank dan penyata akan dihantar setiap bulan. Kini, ramai pelanggan sudah beralih kepada penyata secara online. Sangat sukar untuk orang lain mengetahui baki penyata jika pelanggan tidak menyimpan salinan softcopy di dalam PC.

Maklumkan pada ahli keluarga terdekat tentang kad yang anda miliki, khususnya kad kredit supaya mereka boleh membuat semakan dengan pihak bank. Jika ada baki tertunggak, jumlah itu dapat dibayar secepat mungkin untuk mengelakkan caj bank untuk bulan-bulan yang akan datang.

Kemudian, bayaran hutang yang dibuat oleh waris akan diganti semula semasa pembahagian harta pusaka.

Perkara #3 Melantik penama pada akaun KWSP dan Tabung Haji 

Lantik penama yang boleh dipercayai pada akaun KWSP dan Tabung Haji. Semua penama untuk akaun ini adalah pemegang amanah sahaja khususnya bagi akaun orang Islam.

Penama boleh memohon terus kepada institusi berkenaan untuk pengeluaran atau pindahan baki akaun ahli selepas kematian dengan membawa dokumen yang diperlukan. Antaranya ialah salinan sijil kematian, salinan kad pengenalan penama dan lain-lain yang diperlukan mengikut institusi.

Semua tunai dalam akaun yang mempunyai penama tidak perlu diuruskan mengikut prosedur pusaka kecil atau mahkamah tinggi. Namun, penama bertanggungjawab memaklumkan kepada waris yang lain berkenaan wang tunai daripada akaun tersebut. Semua tunai ini adalah sebahagian daripada harta pusaka si mati dan mesti diagihkan mengikut syarak atau persetujuan waris yang lain.

Selain itu, proses pengeluaran oleh penama lebih cepat berbanding menunggu bicara di pejabat pusaka kecil atau mahkamah tinggi. Wang tunai ini boleh digunakan untuk menjelaskan hutang si mati, jika ada. Pasangan khususnya isteri yang tidak bekerja boleh menggunakan tunai ini sementara waktu untuk menampung kos sara hidup. Namun, harus disimpan semua rekod perbelanjaan dan mesti dikira semula semasa pembahagian harta pusaka.

Hal ini penting supaya penama atau waris tidak mengambil hak waris yang lain dan secara tidak langsung menggunakan harta secara haram.

Perkara #4 Berbincang secara terbuka dengan pasangan

Hal hidup dan mati adalah perkara yang sensitif untuk dibincangkan. Namun, pasangan harus bersikap terbuka supaya suami/isteri yang ditinggalkan tahu apa yang perlu dilakukan untuk kelangsungan hidupnya dan anak-anak.

Perkara #5 Menulis wasiat

Wasiat ialah dokumen yang menyatakan hasrat pewasiat. Wasiat ialah pesanan si mati tentang banyak perkara penting berkaitan harta yang dimilikinya semasa hidup. Dalam pentadbiran harta pusaka, pewasiat boleh melantik wasi atau pentadbir harta pusaka semasa dia hidup. Semua ini dicatatkan dalam wasiat.

Selain itu, pewasiat boleh menyatakan kaedah pembahagian harta pusaka di dalam dokumen ini. Wasi akan melaksanakan tugasnya dan harta dibahagikan mengikut hasrat pewasiat selagi ia tidak bertentangan dengan syarak.

Sumber artikel disini

Sumber gambar

Comments

comments