Lelaki ini kongsi bagaimana nak semak nilai pasaran sebelum membeli rumah pertama

0
1222
Sumber gambar : bankingexchange.com
Sumber gambar : bankingexchange.com

Pasti korang rasa teruja kan bila dapat offer rumah pada harga yang murah?

Rasa laju je nak setel proses beli rumah cepat cepat.

Tapi nanti dulu! Jangan gopoh.

Harga rumah yang korang nampak murah tu tak semestinya murah. Check dulu nilai rumah barulah tak tersalah beli.

Penting untuk tahu berapa nilai rumah sebenar sebelum korang mulakan proses beli rumah.

Nak tahu lebih lanjut macam mana nak semak? Nah hadamkan perkongsian Tuan Mohd Fadhli Mohd Fauzi ni.

“Apabila membeli rumah, semak nilai pasarannya, bukan sekadar harganya.”

Rumah 100,000 tidak semestinya murah.
Rumah 500,000 tidak semestinya mahal.

Rumah RM100,000 mungkin nampak murah tapi jika nilai pasarannya ialah RM60,000, ia sebenarnya mahal iaitu RM40,000 melebihi nilai pasaran.

Rumah RM500,000 mungkin nampak mahal tapi jika nilai pasarannya ialah RM800,000, ia sebenarnya murah iaitu RM300,000 bawah nilai pasaran.

 

Penting ke semak nilai pasaran?

Andaikan pembiayaan perumahan diluluskan pada margin 90%, ia dikira berdasarkan nilai pasaran atau harga jual, mana-mana yang lebih rendah.

Dalam kes pertama di atas, amaun pembiayaan yang akan diberi ialah 90% x RM60,000 = RM54,000, bukannya 90% x 100,000 = RM90,000. Maka pembeli terpaksa topup tunai RM46,000, bukannya hanya RM10,000.

 

Apa itu nilai pasaran? 

Nilai pasaran secara ringkasnya adalah nilai yang dicadangkan oleh Jurunilai bertauliah berdasarkan beberapa aspek tertentu termasuklah rekod transaksi jual-beli di sesuatu kawasan.

Sebelum anda membeli rumah sama ada pasaran sekunder (subsale) atau lelong, menganggar nilai pasaran adalah sangat penting kerana bank hanya memberi peratusan pembiayaan mengikut nilai pasaran atau harga beli / bida, mana-mana yang terendah.

Jika anda membeli / membida melebihi nilai pasaran, anda terpaksa membayar deposit tunai lebih daripada 10%.

Sebelum membeli unit dalam pembinaan (underconstruction) juga, anda seharusnya mengambil tahu nilai pasaran hartanah di kawasan berhampiran supaya dapatlah anda anggarkan nilai unit anda apabila siap kelak.

 

BAGAIMANA SEMAK NILAI PASARAN?

 

1. NILAIAN RASMI

LANTIK JURUNILAI BERTAULIAH

Jika anda banyak duit, anda boleh sahaja melantik jurunilai bertauliah untuk mendapatkan laporan nilai pasaran secara rasmi.

Namun harus diingat bahawa untuk mendapatkan nilai secara tepat, jurunilai perlu melakukan penilaian dari dalam dan luar rumah.
2. ANGGARAN NILAIAN SECARA LISAN

Sebelum membaca tips berikutnya, anda harus tahu info hartanah yang perlu disediakan sebelum bertanya orang arif di bawah.

■ Alamat penuh rumah ✔
■ Keluasan✔
■ Renovasi yang diluluskan ✔
■ Aksesori tambahan ✔
■ Harga Jual / Beli yang diletakkan✔

JURUNILAI BERTAULIAH 

Jika anda mempunyai rangkaian persahabatan dengan jurunilai bertauliah, anda sangat bertuah!

Minta bantuan mereka untuk dapatkan anggaran nilaian secara lisan. Biasanya ia dinilai berdasarkan transaksi terkini di kawasan berhampiran. Ia bukanlah nilaian rasmi kerana tiada lawatan tapak dilakukan.

Namun ia boleh dijadikan panduan untuk anda membuat keputusan sama ada masuk membida / membeli.

PEGAWAI BANK PEMBIAYAAN HARTANAH 

“Walk-In” ke bank-bank berhampiran anda. Sekiranya anda berhasrat memohon pembiayaan dengan Bank A, maka pergilah ke Bank A.

Pergi ke bahagian pembiayaan hartanah san jumpa pegawai bank di sana. Kalau anda tanya di kaunter, memang dia tak dapat bagi jawapanlah melainkan dia tunjuk arah ke lokasi yang betul!

Beri maklumat hartanah kepada pegawai bank tersebut dan dia akan tanyakan panel jurunilai mereka. Sama sahaja dengan langkah di atas, cuma kali ini anda melalui pegawai bank.

AGEN HARTANAH 

Ya sama juga seperti langkah di atas iaitu berjumpa pegawai bank. Bagi info hartanah dan agen yang baik hati akan bantu anda dengan bertanya kepada rakan jurunilai mereka.

Tetapi janganlah salahgunakan mereka begitu sahaja. Payunglah neskepe atau teh tarik!

Oh ada juga saya nampak di facebook ada agen yang menyediakan khidmat ini secara percuma melalui online. Klik link mereka dan beri info hartanah; selepas 48 jam hari bekerja mereka akan beri anggaran nilai secara online. Maaf saya tidak ingat link mereka.
3. ANGGARAN NILAIAN LAMAN SESAWANG

Jika anda tiada rangkaian seperti di atas, anda perlulah mula daripada sekarang.

Jika tiada juga, anda boleh cuba beraksi seperti mereka dengan menganggar sendiri nilai pasaran sesuatu hartanah, namun atas risiko sendiri!

Brickz 

Laman sesawang ini memaparkan transaksi terkini jualbeli sesuatu hartanah. Melalui transaksi ini, bolehlah anda anggar berapa tinggi nilai sesuatu hartanah berdasarkan harga perkaki persegi.

Mudah

Mudah atau laman-laman sesawang lain yang mengiklankan jual beli rumah juga boleh dijadikan panduan.

Rujuk iklan berapa harga yang mereka letakkan. Jika majoritinya meletakkan harga yang lebih kurang sama, biasanya nilai pasaran adalah lebih kurang begitu.

Namun harus diingat bahawa tidak semua iklan tersebut meletakkan harga yang betul. Antara taktik beriklan terutamanya oleh pemilik rumah ialah meletakkan harga setinggi yang boleh untuk “test market” sebelum menurunkannya sedikit demi sedikit melalui negosiasi.
4. KEJIRANAN

Tiada duit untuk laporan penilaian rasmi?

Tiada rangkaian kawan-kawan jurunilai / pegawai bank / agen?

Tiada internet?

Anda boleh berjalan-jalan melawat kawasan yang dihajati dan berboraklah dengan jiran-jiran di sana. Tanya mereka berapakah harga rumah yang dijual di kawasan tersebut dan bila kali terakhir jualbeli rumah berlaku di sana.

 

 

Comments

comments