Kenapa rumah belum siap tapi pembeli sudah dapat rumah yang ada CCC?

0
1463

 

Sejak kebelakangan ini, saya terima beberapa aduan daripada pembeli rumah yang dalam pembinaan yang mendakwa pemaju telah serahkan milikan kosong rumah kepada mereka, sedangkan keadaan rumah di tapak pembinaan masih belum siap sepenuhnya.

Kenapa boleh berlaku?

Alasan pemaju adalah, Arkitek telah mengeluarkan Sijil Kesiapan dan Pematuhan (Cetificate of Completion & Compliance) atau lebih dikenali sebagai CCC. Maka apabila CCC telah dikeluarkan, Pemaju pun bolehlah serahkan milikan kosong rumah tersebut.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, di mana kalau kita rujuk kepada Perjanjian Jual Beli yang menggunapakai Jadual G atau H, Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989 di baca bersama Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan n dan Pelesenan) 1966, jelas mensyaratkan bahawa milikan kosong hanya diserahkan setelah bangunan siap dibina dengan sempurna.

Di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2007) di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 pula mensyaratkan yang Arkitek hanya bertanggungjawab untuk mengeluarkan CCC selepas bangunan tersebut telah siap sepenuhnya dan mematuhi segala syarat-syarat dan undang-undang kecil yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Maka sekiranya bangunan tersebut masih belum siap dibina sepenuhnya sedangkan CCC telah dikeluarkan oleh Arkitek, saya fikir ianya satu perlanggaran yang nyata terhadap peruntukan undang-undang itu sendiri.

Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kerana di bawah sistem CCC yang menggantikan sistem CFO sebelum ini, kemungkinan akan terjadi conflict of interest kerana Arkitek yang menyelia kerja pembinaan merupakan juga pihak yang mengeluarkan CCC.

Begitu juga dikatakan, tidak mustahil boleh wujudnya elemen pakatan di antara pihak pemaju dan Arkitek di dalam sesuatu pemajuan perumahan kerana Arkitek adalah ejen yang dilantik oleh pemaju itu sendiri. Dan fee mereka pun dibayar oleh Pemaju.

Inilah saya fikir antara kelemahan dan loopholes yang ada dalam sistem CCC ini. Pihak berkuasa Tempatan (PBT) ingin lepaskan liabiliti mereka kepada pihak professional (Arkitek), sedangkan Arkitek itu sendiri adalah dilantik oleh pemaju.

Maka tidak mustahil boleh terjadi keadaan di mana pemaju mengarahkan pihak Arkitek mengeluarkan CCC walaupun bangunan masih belum siap dibina sepenuhnya.

Ini bertujuan untuk mengelakkan pemaju tersebut daripada terpaksa membayar ganti rugi kelewatan kepada Pembeli.

Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, ianya sesuatu yang amat malang dalam industri pemajuan perumahan dan ianya bertentangan dengan etika profesional Arkitek itu sendiri.

Jadi, jika perkara ini berlaku kepada anda, sebagai Pembeli apakah hak anda dan apakah tindakan yang boleh anda lakukan dari segi undang-undang?

Insya Allah saya akan kongsikan jawapannya pada posting yang akan datang.

Terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Comments

comments