Juara piala dunia ragbi ini tak mahu terlibat dengan riba’? Anda mesti baca kisah ini

0
269
Sumber gambar : www.nzherald.co.nz
Sumber gambar : www.nzherald.co.nz

 

Anda mesti pernah dengar nama All Blacks iaitu nama gelaran bagi pasukan ragbi New Zealand. Pasukan ragbi New Zealand ini sangat terkenal dan telah sekian lama dianggap sebagai negara terhebat dalam sukan ragbi. Kehebatan mereka begitu terserlah apabila menjuarai Piala Dunia Ragbi dua kali berturut-turut pada 2011 dan 2015. Hebat kan?

Apa yang menarik mengenai pasukan New Zealand ini adalah, salah seorang pemain paling terkenal mereka bernama Sonny Bill Williams rupa-rupanya beragama Islam. Beliau telah mencipta sejarah apabila menjadi orang Islam pertama yang terpilih mewakili pasukan All Blacks ini. Mungkin agak mengelirukan sedikit kerana nama beliau tidak berbunyi Arab, tetapi ini adalah perkara biasa di dunia barat kerana pemain ini memilih untuk mengekalkan nama asalnya sebelum memeluk Islam. Bahkan kalau anda melihat gambarnya, anda mungkin terkejut kerana beliau mempunyai tatu yang begitu besar di tangan kanannya yang dibuat sebelum beliau memeluk Islam lagi.

Sumber gambar: www.stuff.co.nz
Sumber gambar: www.stuff.co.nz

Sedikit latar belakang mengenai Sonny Bill Williams ini. Beliau telah bermain ragbi di liga ragbi banyak negara di dunia seperti New Zealand, Australia dan Perancis. Beliau juga berada dalam pasukan New Zealand (All Blacks) untuk kedua-dua edisi Piala Dunia yang dimenangi pada 2011 dan 2015. Beliau bukanlah seorang Muslim sejak lahir, beliau memeluk Islam pada tahun 2008 semasa bermain dengan pasukan Toulon di Perancis. Apa yang menarik adalah, sebelum memeluk Islam, beliau seringkali terlibat dengan pelbagai insiden akibat arak termasuk ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk. Tetapi setelah memeluk Islam, beliau berjaya meninggalkan tabiat-tabiat buruk tersebut dan menjadi insan yang lebih baik.

Baru-baru ini, beliau menimbulkan kontroversi di New Zealand apabila berkeras meminta pasukan yang diwakilinya sekarang iaitu Auckland Blues, untuk memakai jersi khas yang tidak mempunyai logo 2 penaja iaitu Bank of New Zealand dan Investec. Auckland Blues adalah satu pasukan hebat yang bermain dalam Liga Super Rugby yang disertai pasukan terhebat dunia dari New Zealand, Australia, Afrika Selatan, Jepun dan Argentina. Alasan yang diberikan adalah kerana sebagai seorang Islam, beliau tidak boleh mempromosikan syarikat yang terlibat dengan riba’, arak dan judi. Permintaan Sonny ini menimbulkan kontroversi dan mendapat liputan meluas media di seluruh dunia terutamanya di negara barat.

Perkara ini sebenarnya pernah diulas oleh Pakar Syariah dan Kewangan Islam terkenal tanah air iaitu Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman. Dalam penulisan beliau, beliau menyatakan bahawa adalah HARAM bagi umat Islam untuk memakai mana-mana pakaian yang mempromosikan iklan bank-bank konvensional. Anda boleh baca lebih lanjut artikel asal tersebut di sini: zaharuddin.net

Berbalik kepada cerita Sonny Bill Williams tadi, akhirnya pasukan ragbi Auckland Blues terpaksa bersetuju kerana Sonny rupanya telah memasukkan perkara ini dalam kontrak beliau apabila membuat keputusan untuk menyertai kelab ini. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Auckland Blues, mereka menyatakan bahawa mereka bersetuju memenuhi permintaan ini kerana menghormati prinsip agama yang dipegang oleh Sonny.

Dalam perlawanan pertama Auckland Blues pada hujung minggu lepas setelah tercetusnya kontroversi ini, Sonny dilihat memakai jersi khas yang tidak lagi mempunyai logo kedua-dua syarikat Bank of New Zealand dan Investec. Tahniah kepada beliau kerana mempertahankan prinsip sebagai seorang yang beragama Islam walaupun beliau masih baru dengan Islam dan merasakan bahawa banyak lagi yang perlu dipelajari.

Anda boleh baca cerita asal di sini: www.stuff.co.nz

Comments

comments