FAQ Hartanah bagi newbie yang baru nak bermula beli hartanah pertama

0
1799
Sumber gambar : www.bankingexchange.com
Sumber gambar : www.bankingexchange.com

Korang baru pertama kali nak beli rumah tapi langsung tak tahu apa-apa? Tahap newbie lah kiranya.

Ramai orang sangka nak beli rumah ni susah dan leceh. Memang betul pun. Banyak perkara yang korang kena ambil kira jika korang serius nak beli rumah.

Tapi itu bukan faktor penghalang korang nak beli rumah.

Mudah je beli rumah kalau korang tahu perkara-perkara basic ni.

Kami bawakan FAQ Hartanah bagi newbie yang baru nak bermula beli hartanah pertama.

Hadamkan baik – baik perkongsian ringkas ni. Lepas ni takde alasan korang nak takut-takut untuk bermula.

Hartanah. Apa yang perlu saya tahu?

 

#1: Rumah pertama lebih elok disewakan atau untuk duduk sendiri?

Ramai orang masih confuse sama ada rumah pertama nak sewakan atau duduk sendiri. Sebenaranya terpulang pada masing-masing. Kalau sewakan juga bagus. Maksudnya korang beli rumah, hiaskan setakat kemampuan dan sewakan. Boleh jana pendapatan pasif secara tak langsung. Nak duduk sendiri pun boleh juga. Tiada masalah. Mungkin rumah pertama korang tu berjaya dibeli time korang dah berkeluarga dan ada anak. Sudah tentulah korang nak ada rumah yang selesa untuk orang tersayang kan? Jadi pilih apa yang terbaik untuk diri korang. Untuk yang masih bujang, boleh buat rumah sebagai investment ya.

 

#2: Saya berminat nak belajar pasal hartanah. Buku hartanah apa yang saya patut baca?

Bagus dah niat nak belajar tu. Mulakan dengan membaca bahan bacaan yang bermanfaat. Sebagai contoh buku yang korang boleh baca, rujuk link  senarai buku hartanah yang wajib dibaca ni. Kami dah senaraikan buku yang korang patut baca sebagai permulaan. Tapi, tak semestinya korang kena beli semua buku sekaligus. Tengok pada kemampuan poket korang. Beli satu persatu pun boleh je. Takdelah nanti korang beli sekaligus, tapi last last dinding rumah yang baca. Eh!

 

#3: Saya nak beli rumah sebagai pelaburan. Lokasi mana yang sesuai?

Soalan ni paling banyak orang tanya sebenarnya. Memang lokasi mainkan peranan penting ketika nak beli hartanah. Tapi korang kena ingat, korang tahu lokasi je tapi tak buat research pasal lokasi tu pun tak guna juga. Apa booster kawasan tu? Buat research dulu sebelum korang pilih sesuatu tempat tu.

Antara aspek booster yang korang boleh ambil kira adalah:

  1. Dekat dengan pengangkutan awam contohnya LRT, KTM atau MRT. Lagi bagus kalau boleh berjalan kaki je pergi stesen. Hartanah yang dalam walking distance ke pengangkutan awam mampu menarik minat orang untuk menyewa.
  2. Kawasan sekitar ada kemudahan asas. Contohnya supermarket, kedai makan, hospital, sekolah. Jangan pilih tempat jin bertendang.
  3. Tengok kepadatan kawasan sekeliling. Korang boleh buat site visit terlebih dahulu tengok kawasan tersebut okey ataupun tidak kawasan kejiranannya. Adakah hartanah yang korang nak beli tu selamat diduduki ataupun tidak. Keselamatan amat penting jika korang nak jadikan rumah sebagai rumah pelaburan. Elakkan memilih hartanah yang ada kadar jenayah yang tinggi.

 

#4: Gaji saya bawah RM2000. Boleh ke nak beli rumah?

Boleh sangat kalau gaji bawah RM2000 nak beli rumah. Yang penting korang kena ada rekod kewangan yang cantik. Check CCRIS dan CTOS korang. Sebagai contoh jika gaji korang RM1800, cuba senaraikan segala benda yang korang kena bayar. Check ada tak baki dari gaji korang tu. Jika baki pun takde, maka korang kena betulkan balik kewangan korang. Cakna ke mana wang korang dihabiskan. Tengok komitmen korang juga. Sebagai contoh komitmen yang selalu diambil kira adalah:

  1. Hutang kereta.
  2. Hutang kad kredit.
  3. Hutang personal loan (Kalau boleh elakkan dari ada personal loan. Sangat tak digalakkan)

 

#5: Nak beli rumah ni wajib ada duit ke?

Wajib ada duit kalau nak beli rumah. Beli rumah bukan macam beli kereta. Kereta boleh zero downpayment. Rumah tak boleh. Kena juga ada duit. Sekurang-kurangnya korang kena menyimpan 15% dari harga rumah yang korang tengah aim tu. Sebagai contoh rumah korang aim tu harganya RM100K. Jadi korang perlu menyimpan sebanyak RM15K. 10% untuk deposit rumah. Lagi 5% legal fees dan segala urusan yang berkenaan. Mulakan menyimpan dari sekarang. Wujudkan tabung Rumah.

 

#6: Saya baru nak mula menyimpan. Macam mana nak cepat penuhkan simpanan deposit rumah?

Nak tak nak untuk deposit rumah, memang korang kena menyimpan gila-gila. Contohnya deposit yang korang perlukan lebih kurang RM15k. target untuk dapatkan dalam 3 tahun. Pecahkan kepada setiap bulan. Jadi dalam setiap bulan korang kena menyimpan dalam RM416.

Lamanya 3 tahun! Nanti ada lagi ke rumah yang harga RM100K?

Jawapannya insyaAllah ada. Korang kena sabar dan jangan gopoh. Jangan sesekali apply personal loan semata-mata nak buat bayaran deposit rumah. Sebab kalau personal loan korang lepas sekalipun, ada kemungkinan loan rumah korang akan sangkut. Cuba menyimpan duit sendiri. Kalau korang taknak lama sangat korang boleh mula cari pendapatan ke dua dan tingkatkan simpanan. Cara ni boleh membantu korang untuk menyimpan dengan lebih banyak dan tidak bergantung kepada gaji semata-mata.

 

#7: Ada lagi ke rumah harga RM100K? Macam impossible je?

Sebenarnya masih ada rumah yang berharga sedemikian. Rumah subsale, rumah lelong, masih banyak yang harga lebih kurang macam tu. Yang penting korang kena rajinkan cari. Jangan malas dan banyak alasan. Kalau korang duk fikir nak dapatkan rumah idaman korang yang berharga RM300K je, memang sampai ke sudah korang tak beli rumah. Kecilkan kemahuan dan tangguhkan apa yang korang nak. Nak semestinya rumah subsale atau rumah lelong tak elok. Korang masih boleh dapat keuntungan dari rumah sebegini. Korang juga boleh check di mudah.my untuk tengok rumah-rumah yang dijual. Masih ada rumah yang berharga RM100K di kawasan yang cantik.

 

#8: Berapa banyak bank yang saya boleh apply untuk loan?

Korang boleh pohon seberapa banyak bank untuk dapatkan loan rumah yang terbaik. Tapi janganlah gelojoh sangat sampai semua bank korang pergi apply. Cuba survey dulu bank mana yang tawarkan kadar pinjaman dan pakej yang terbaik. Kalau korang ada kawan yang keje banker lagi bagus. Dapatkan nasihat daripada dia. Time ni lah kepentingan untuk luaskan networking korang kan? Haha.

 

#9: Guna duit KWSP untuk bayar deposit boleh tak?

Jawapannya, boleh. Cuma, korang masih perlu menyimpan duit deposit rumah. Sebab ye lah nak tunggu dapat keluarkan wang simpanan KWSP boleh makan masa juga. Jadi kena ada duit simpanan juga walau apa sekalipun. Ye lah kalau ada emergency case nak guna duit, korang still kena keluarkan duit sendiri juga kan.

__

Kalau korang serius nak belajar macam mana nak beli rumah, kami syorkan korang mulakan cari ilmu dari sekarang. Banyakkan membaca dan follow otai-otai hartanah di facebook. Banyak je ilmu yang bermanfaat dishare sekarang ni. Tinggal korang nak baca dan ambil tindakan je.

Kalau korang baru nak bermula simpan duit deposit tahun ni, jangan putus asa. Teruskan usaha murni korang. Jangan rasa lemah semangat.

Masa depan kewangan korang bergantung kepada usaha korang hari.

Jadi, masih nak bertangguh lagi ke?

 

 

 

Comments

comments