Elak terjebak ke neraka kewangan – apa yang anda boleh buat? (Siri #1) 

0
1621

 

Merancang kewangan sendiri pasti menjadi target setiap orang tak kiralah berapa umur sekalipun. Namun target tanpa tindakan adalah sia-sia dan langsung tidak bermakna.

Orang yang ada kerja bagus tak semestinya pengurusan kewangan dia mantap. Ada banyak kes di mana orang yang bergaji besar, nak menyimpan pun susah. Dengan tingginya pendapatan, makin besar pula nilai hutang yang ada. Kenapa boleh terjadi perkara ni? Sebab kita tak tahu asas kewangan itu apa. Ada beberapa perkara yang kita perlu lakukan supaya kita dapat mengubah kewangan kita.  Ayuh baca perkongsian menarik daripada Tuan Afyan Mat Rawi ketika Seminar Bijak Merancang Wang pada 18 Februari 2017 ini.

 

Perkara #1 Belajar ubah mindset kita

Tanamkan dalam mindset bahawa kita kena simpan dulu barulah belanja. Barulah bila kita pegang duit sendiri, kita tak tergopoh-gapah belanja ikut kemahuan bukan keperluan.

Ubah mindset kita tentang merancang wang. Banyakkan membaca buku-buku topik berkaitan kewangan. Apa yang kita baca itulah yang akan menjadi mindset kita. Jadi kawal apa yang kita baca.

Perancangan kewangan ini ibarat satu pokok yang berbuah. Jika buah tak elok, adakah kita kena letak baja kat buah itu sendiri? Atau kena letak baja kat daun? Jawapannya mestilah kena letak baja kat akar. Barulah buah akan elok.

Analogi pokok ini adalah seperti kewangan kita sekarang. Masalah masalah yang kita hadapi sebagai contoh gaji tak cukup, hutang bertimbun banyaknya, nama kena blacklist, duit pelaburan dah terlebur adalah di ibaratkan sebagai buah yang tidak elok. Untuk mengatasi masalah-masalah ini kita tidak boleh terus menyelesaikan masalah. Tapi haruslah kembali membetulkan akar iaitu mindset kita. Cuba kita tengok balik apa mindset kita.

Adakah kita jenis yang suka boros?

Adakah kita jenis yang suka belanja sesuka hati?

Adakah kita sudah terlalu selesa dengan gaji yang kita terima sekarang sampai tak rasa nak menyimpan?

Mindset memainkan peranan penting dalam menentukan ke mana arah tuju kewangan kita. .

 

Perkara #2 Ubah tabiat kewangan kita

Sejak dari kecil, kita dilatih oleh mak ayah kita. Dapat duit belanja, ayat common yang selalu dengar

“Duit ni buat belanja dulu. Ada lebih baru simpan”

Dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, sampailah masuk university. Ayat yang sama diulang-ulang. “ Belanja dulu baru simpan”. Sampai kita jadi terbiasa belanja dulu. Ada lebih, simpan. Tak ada lebih, tak simpan.

Kesannya bila dah terbiasa dengan tabiat ni, dapat gaji pertama, kita akan terus belanja dulu sampai tak ingat dunia. Simpanan? Kalau ada lebih, baru simpan.

Untuk merancang kewangan, mindset salah ini kena ubah. Yang sebetulnya adalah bila dapat duit, simpan dulu, baru lah belanja.

Mak ayah yang ada anak sekolah boleh mula tanamkan mindset yang betul kepada anak-anak. Bagi duit kat anak-anak, beritahu mereka “Kakak, simpan RM1 dalam tabung. Lebih baru belanja”. Beri duit belanja kepada anak-anak semasa di rumah lagi supaya mereka terus masukkan RM1 dalam tabung. Kalau beri duit belanja depan pintu pagar sekolah, kat mana dorang nak simpan duit?

Apabila kita sudah ada mindset untuk simpan bila ada duit, baru kita boleh merancang wang secara bijak.

Kita juga perlu tahu tentang keadaan kewangan kita sekarang. Kita sudah di ada di mana? Ibarat kita melihat peta dan ingin mencari arah menuju ke destinasi. Namun, kita tak tahu kita kat mana sekarang. Agak-agak kita boleh sampai ke destinasi kita? Mestilah tak kan?

Begitu juga dengan kewangan. Bila kita tak tahu tahap kita kat mana sekarang, kita akan menghadapi masalah untuk membetulkan kesilapan kewangan kita.

 

Perkara #3 Asingkan emosi ketika membuat keputusan berkaitan duit

Bila nak uruskan kewangan sendiri, seelok-eloknya pastikan kita tak masukkan elemen emosi ketika membuat keputusan. Ramai orang berhutang sekarang kerana terikut-ikut dengan orang lain. Peer pressure. Tengok orang ada kereta mahal, nak kereta mahal juga. Kereta tak main kereta biasa-biasa saja. Adakalanya baru je kerja terus angkut Honda City sebiji.

Beli kereta tu tak salah. Cuma boleh menjadi masalah bila korang tak ambil kira kos-kos yang korang perlu fikir terlebih dahulu. Contohnya minyak, tol, maintenance, kos tukar tayar, roadtax dan sebagainya. Bulanan mungkin RM900 saja. Tapi kos-kos yang perlu dicover adalah lebih dari itu. Jadi jangan terikut-ikut sangat dengan orang lain. Nilai kereta yang layak korang beli adalah bersamaan nilai setahun gaji korang saja.

Nak buat keputusan berkenaan duit, pastikan kaji terlebih dahulu. Silap hari bulan, Honda City yang korang ada tu bawa ke neraka kewangan pula.

Jadi pengguna yang bijak, bukannya pengguna yang kena pijak. Bila kita ada masalah kewangan, kita kena perbetulkan mindset kita terlebih dahulu. Kerja lah part time banyak mana sekalipun, ada pendapatan ke-2, ke-3 atau ke-4tapi kita sendiri tak betulkan mindset kita, masalah kewangan tetap tak akan selesai.

 

Artikel ini ditulis oleh Editor HalalMoney.my yang telah hadir ke Seminar Bijak Merancang Wang pada 18 Februari 2017 yang bertempat di UniKL BMI Gombak. 

 

Comments

comments