Dah sign SNP, tiba-tiba salah satu pihak taknak teruskan jual beli. Apa nak buat?

0
872

Dah penat penat view rumah, sign SNP, sekali salah satu pihak main tarik tali tak nak teruskan proses seterusnya. Agak-agak cuak tak?

Mestilah cuak. Tambah lagi kalau tu rumah pertama korang. Apa nak buat bila berhadapan dengan situasi ni?

Buat korang yang tak tahu apa nak buat bila berlaku perkara ni, artikel ni memang korang patut baca sampai habis.

Jemput hadamkan perkongsian Tuan Salkukhairi Abd Sukor yang berguna ni.

Antara keadaan yang biasa berlaku dalam urusan jual beli hartanah adalah satu pihak (sama ada pembeli atau penjual) telah tandatangan perjanjian jual beli (SNP), tetapi pihak yang satu lagi belum tandatangan.

Tiba-tiba pihak yang belum tandatangan SNP enggan menandatangani SNP dan tidak jadi untuk meneruskan transaksi jual beli.

Jika ini berlaku apakah kesan kepada urusan jual beli tersebut?. Apakah hak pihak yang telah menandatangani SNP tersebut dan apakah yang boleh beliau lakukan?

Ini jawapannya:

1. Sekiranya hanya satu pihak sahaja yang telah tandatangan SNP sedangkan pihak yang satu lagi belum tandatangan, SNP tersebut dianggap masih lagi belum sempurna (concluded) dan masih tidak mengikat kedua- dua belah pihak.

2. Sekiranya ketika itu satu pihak enggan meneruskan urusan jual beli atas apa-apa sebab sekalipun, berdasarkan Akta Kontrak, sekiranya terdapat apa-apa bayaran yang telah dijelaskan, maka bayaran tersebut hendaklah dikembalikan dan apa-apa dokumen yang telah diperolehi juga hendaklah dikembalikan.

3. Kemudian keadaan tersebut akan kembali kepada status asal (status quo) seolah-olah tiada sebarang urusan jual beli antara kedua-dua belah pihak pernah dilakukan dan masing-masing tidak boleh menuntut ke atas satu sama lain.

4. Walaubagaimanapun sekiranya sebelum SNP tersebut ditandatangani, kedua-dua belah pihak ada menandatangani sebarang surat akuan persetujuan bersama, atau surat niat (intent letter), atau surat tawaran untuk menjual/ membeli dan sebagainya, maka walaupun SNP tidak ditandatangani oleh mana-mana pihak, mereka telah terikat dengan surat persetujuan yang telah ditandatangani sebelum daripada itu.

5. Jadi seandainya satu pihak enggan meneruskan jual beli, pihak yang satu lagi boleh menguatkuasakan peruntukan-peruntukan yang dipersetujui bersama dalam surat persetujuan tersebut seperti hak untuk mendapat kembali bayaran yang telah dibuat, hak untuk tuntut ganti rugi dan sebagainya, bergantung kepada apa yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak yang dinyatakan dalam surat persetujuan tersebut.

6. Sekiranya pihak yang enggan teruskan urusan jual beli tadi ingkar untuk melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam surat persetujuan tadi, maka pihak yang satu lagi bolehlah memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang enggan tersebut untuk beliau menuntut haknya kembali.

Jadi nasihat saya, sebelum anda tandatangan SNP, adalah lebih baik jika anda dapat tandatangan sebarang surat persetujuan bersama dengan pihak satu lagi yang memasukkan terma-terma asas dan penting tentang urusan jual beli yang akan dilakukan secara rasmi kelak.

Sekurang kurangnya sekiranya tiba-tiba ada pihak yang enggan teruskan urusan jual beli, ada sesuatu dokumen yang telah mengikat antara kedua-dua belah pihak yang boleh dirujuk dan dikuatkuasakan kelak.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Dah faham setakat ni? Kami yakin korang pun mestilah taknak berdepan dengan situasi ni. Namun, kena take note juga. InsyaAllah dengan perkongsian ni, korang lebih berhati-hati dalam urusan jual beli rumah.

 

Rasa perkongsian ni bermanfaat? Silakan SHARE untuk manfaat bersama.

Comments

comments