Apa taktik yang perlu ada bagi menghadapi zaman peperangan (krisis ekonomi)?

0
2703

 

Adakah kita bakal menghadap zaman peperangan sekali lagi? Sejauh mana kita bersedia kali ini?

Sejarah kitaran ekonomi terdahulu telah membuktikan, sejauh mana teruknya krisis ekonomi yang dihadapi, ianya pasti akan berlalu jua. Masihkah kita ingat, betapa kuatnya kita mengharungi Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Dot Com 2000 dan Krisis Subrprima 2008. Semuanya telah berlalu, semuanya pasti meninggalkan kesan tetapi kita masih di sini dan baik-baik sahaja.
Kini tanggal 2017, kita dikatakan di ambang krisis ekonomi. Sesuatu yang perlu kita hadapi, kerana ianya masih lagi sebuah RODA yang tetap akan berputar.

Kita tidak perlu menjadi PAKAR dalam meramal keadaan ekonomi semasa dan yang akan datang. Kita juga tidak perlu menguasai ilmu ekonomi untuk membuat persediaan untuk menghadapinya. Namun berdasarkan kajian dan pendapat pakar, kitaran ini akan berlaku setiap 8-10 tahun sekali. Tidakkah ianya memberi kita cukup masa untuk bersedia? Apa yang diperlukan sekarang ini adalah PERSEDIAAN untuk menghadapinya dan bagaimana kita BERTINDAK ketika krisis ekonomi ini.

 

PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERANGAN:

 

Sebelum kita menghadapi peperangan, pelbagai persediaan perlu dilakukan terlebih awal dan dibuat secara konsisten. Ianya bagaikan merencana satu PASUKAN PERANG yang lengkap dan kuat yang boleh menangkis serangan dan badai krisis ekonomi yang sedang atau yang akan melanda. Harus diingat, pasukan perang ini tidak mungkin dibina dalam masa sehari. Masa yang mencukupi dan perancangan yang baik diperlukan.

Antara kelengkapan perang yang diperlukan :

  • BAJU PERISAI – Baju perisai ini yang akan menahan segala serangan yang mendatang dan ianya boleh disamakan dengan keadaan CASH FLOW yang baik. Kita perlu meningkatkan disiplin dalam menguruskan kewangan seharian dan memastikan CASH FLOW yang sihat.
  • SENJATA DAN PELURU – untuk memenangi satu peperangan, kita tidak boleh bertahan shj, tetapi kita juga perlu menyerang. Sebelum menyerang, kita perlu memastikan senjata dan peluru yang mencukupi. Ianya diumpamakan sebagai CASH CAPITAL. Mereka yg mempunyai persediaan CASH CAPITAL yg besar mempunyai kelebihan utk terus membuat serangan dan memenangi perang.
  • BATALLION TENTERA – battalion tentera biasanya terdiri daripada beberapa pasukan yang menjalankan fungsi yang berlainan. Semasa perang, kita memerlukan tentera darat, udara dan laut. Ianya diumpamakan sebagai MULTIPLE SOURCE OF INCOME. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada SINGLE SOURCE OF INCOME kerana ketika perang, kita tidak pasti pasukan mana yang akan lebih berkesan. Kita juga perlu menggunakan segala pasukan yang ada.
  • TEMBOK DAN KUBU – ada kalanya kita akan diserang sehingga ke kubu kuat. Oleh itu, kita perlu membina tembok dan kubu yang utuh. Ianya seumpama mempunyai TABUNG KECEMASAN yang mencukupi dan sentiasa bersedia untuk menampung sekurang-kurangnya 6 -12 bulan pendapatan isi rumah. Ini adalah untuk memastikan agar kita mempunyai masa yang cukup untuk bangkit semula jika terkena serangan atau direct impact. Inilah tembok pertahanan kita yang terakhir.
  • JENERAL PERANG – setiap peperangan memerlukan Jeneral yang berani dan bijak mengatur taktik. Ianya juga seperti ILMU dan KEKUATAN MENTAL. Kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang baik. Ini adalah utk memastikan apabila berperang, kita boleh melaksanakan taktik yang bijak dan berkesan dengan mental yang stabil.

 

TAKTIK SEMASA PEPERANGAN:

Ada yang memilih utk bertahan (defensive) dan ada yang memilih untuk menyerang (offensive). Ada juga yang memilih utk tidak mengambil peduli dan meneruskan kehidupan. Apa jua taktik yang dipilih, hanya anda yang tahu kekuatan diri masing-masing.

 

STRATEGI BERTAHAN (DEFENSIVE)

Di antara strategi BERTAHAN yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut:

 

  • Teruskan usaha utk tingkatkan CASH CAPITAL sebagai persediaan menghadapi perperangan. Disiplinkan diri utk terus menabung sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan dalam apa jua keadaan. CASH CAPITAL ini adalah senjata dan peluru yang akan kita gunakan. Sebaiknya simpanlah ke tempat yang mudah dicairkan seperti TH&ASB.
  • Pastikan TABUNG KECEMASAN yang ada sentiasa mencukupi (sekurang-kurangnya 6 -12 bulan pendapatan isi rumah). Elakkan daripada menyalahgunakan tabung kecemasan ini sehingga saat-saat yang memerlukan. Anda boleh park sementara di TH&ASB.
  • Kurangkan perbelanjaan yang TIDAK PERLU dan BERJIMAT. Kita mesti kuat membezakan di antara perbelanjaan MUST HAVE atau NICE TO HAVE. Pastikan CASH FLOW sentiasa sihat sepanjang masa. Ia seperti menyarung baju perisai yang akan menahan segala serangan.
  •  Jadilah mereka yang lebih PEKA terhadap perbelanjaan dan pendapatan. Berkiralah sehingga ke sen terakhir. Ini adalah untuk mengelakkan pembaziran dan mengurangkan kebocoran. Ini adalah masa terbaik utk melatih diri menguruskan kewangan yang baik. Mantapkanlah ilmu kewangan yang sedia ada.
  • Susun semula portfolio perlaburan dan simpanan yang sedia ada. Ianya perlu diagihkan (DIVERSIFY) secara bijaksana dan berdasarkan risk profile diri sendiri. Selain daripada simpanan tunai, agihkan juga kepada perlaburan emas, stock market, unit amanah, hartanah dll. Don’t put everything in one basket.
  • Kurangkan HUTANG JAHAT yang sedia ada spt personal loan / kad kredit. Langsaikan hutang-hutang tersebut secepat mungkin dan elakkan dari membuat hutang jahat yang baru.
  • Berusahalah untuk KEKAL BERKERJA dengan pekerjaan tetap yang sedia ada. Usah berekperimentasi. Kurangkan kontroversi dan tingkatkan prestasi.
  • Elakkan sikap TAMAK menguasai diri. Berhati-hati dengan pelbagai skim cepat kaya yang too good to be true. Saat begini, mereka tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Berwaspadalah!

 

STRATEGI MENYERANG (OFFENSIVE)

Di antara strategi MENYERANG yang boleh dibuat adalah seperti berikut:

 

  • Serangan Hendap ke atas Sektor Hartanah

Secara umumnya,pasti akan berlaku PEMBETULAN HARGA di dalam harga hartanah. Semakin ramai orang yang TERDESAK untuk menjual rumah mereka kerana dihimpit masalah kewangan. Cari masa yang terbaik utk memulakan serangan hendap. Lakukan tawaran di luar akal fikiran. Ini dinamakan BUYER’S MARKET. Peluang untuk mendapat hartanah subsale Below Market Value amatlah tinggi. Intai juga peluang dapatkan rumah lelong dengan nilaian 20-30% lebih rendah dari harga pasaran. Kita perlu pandai mencari dan bijak membuat tawaran untuk memaksimumkan ROI.

 

  • Serangan Bom ke atas Pasaran Saham

Terdapat pelbagai jenis saham yang mempunyai fundamental yang kukuh, tapi diniagakan di bawah paras nilai sebenar mereka. Inilah masanya untuk membeli SAHAM-SAHAM MEWAH dengan harga yang berpatutan. Teruskan membeli secara berkala dan menyimpan saham-saham tersebut untuk jangka masa panjang. Harus diingatkan, di setiap market cycle, pasti akan ada saham-saham yang memberikan pulangan yang baik. Pasang ‘bom’ di setiap kaunter yg disasarkan, letuskan apabila harga target tercapai. Yang penting kena ada ilmu dan modal yang mencukupi sebelum melabur. Luangkan masa dan sedikit modal untuk belajar.

 

  • Serangan Gerilla ke atas Unit Amanah

Kepada mereka yang mahu mengurangkan risiko perlaburan, anda boleh melabur ke dalam Unit Amanah. Ini adalah masa yang terbaik untuk memulakan perlaburan dalam unit amanah. Jika anda merupakan pelabur yang sedia ada, TOP UP perlaburan yang sedia untuk menjayakan strategi Dollar Cost Averaging (DCA). Secara umumnya, harga fund yang sedia ada akan menjadi lebih murah. Inilah peluang terbaik untuk membeli dan mendapatkan lebih banyak unit. Pilih syarikat unit amanah yang telah kukuh dan menunjukkan rekod pulangan yang baik. Perlu diingatkan, unit amanah merupakan perlaburan jangka masa panjang (5 tahun ke atas). Berikan ia masa untuk berkembang dan menghasilkan keuntungan yang diinginkan.

 

  • Serangan Psikologi ke atas Emas Fizikal

Emas merupakan salah satu instrument yang baik di saat menghadapi Krisis Ekonomi. Harga emas yang jatuh kebelakangan ini memberi peluang kepada kita untuk membeli dengan harga yang rendah. Teruskan mengumpul emas fizikal secara berkala. Namun harus diingat, perlaburan emas juga mempunyai mempunyai risiko yang tersendiri. Kita perlu bijak dalam melakukan serangan psikologi ini. Usah terlalu panik dan taksub sehingga bergantung sepenuhnya kepada perlaburan emas. Kebaikan yang paling ketara, dalam apa jua keadaan ekonomi, paling tidak anda masih boleh mengenggam emas ditangan.

 

  • Serangan Kamikaze melalui Bidang Perniagaan

Ini masanya untuk memulakan perniagaan kamikaze(berani mati). Mulakan perniagaan yang bermodal rendah untuk menambah pendapatan. Terdapat pelbagai perniagaan dengan modal yang rendah yang boleh diceburi, seperti perniagaan online, MLM, agen insurans atau unit amanah. Anda juga boleh menceburi perniagaan tradisional kecil-kecilan seperti menjual makanan/minuman. Peluang ada di mana-mana dan apa yang penting kita harus pandai mencarinya.

 

Taktik di atas adalah sebahagian daripada strategi untuk kita mengharungi krisis ekonomi yang bakal atau yang telah menjelma. Anda boleh memilih untuk BERTAHAN atau MENYERANG. Anda juga mempunyai pilihan untuk menjadi tukang tengok dan terus dibuai badai. Pilihan terletak di tangan kita semua.

Namun yang pasti, saya telah memilih untuk melaksanakan kedua-dua taktik di atas secara serentak dan bijaksana.

Kini tiba masanya untuk menyarung BAJU PERISAI, memperkuatkan TEMBOK & KUBU pertahanan, menyusun SENJATA & PELURU, memperkasakan TENTERA dan patuh kepada arahan JENERAL PERANG. Tiba masanya untuk kita BERTAHAN DAN MENYERANG.

Kita hanya berusaha dan ALLAH jua yang akan menentukan segalanya. Semoga kita bersama-sama berjaya mengharungi peperangan pada kali ini dan yang akan datang. Semoga kita berada di pihak yang MENANG dan dilindungi oleh yang Maha ESA.

Saya kini sudah bersedia untuk berjuang di medan perang, anda pula bagaimana ?

 

Sumber artikel disini

Sumber gambar

 

Comments

comments