Apa pembeli rumah boleh buat jika CCC dah keluar tetapi rumah belum siap?

0
1512

Bila korang beli rumah dengan pemaju, pastikan korang ambil tahu apa yang perlu dilihat bila rumah dah siap.

Ada sesetengah kes CCC dah keluar, tapi rumah masih belum siap sepenuhnya. Bila terjadi kes macam ni, janganlah korang buat senyap. Ada beberapa tindakan yang korang boleh buat.

Nak tahu lebih lanjut? Hadamkan perkongsian Tuan Salkukhairi Abd Sukor ini.

Sekiranya anda dapati pemaju menyerahkan milikan kosong rumah anda, sedangkan rumah tersebut belum siap dibina sepenuhnya tetapi Certificate of Completion and Compliance (CCC) telah dikeluarkan, anda mempunyai hak untuk melakukan tindakan-tindakan mengikut undang-undang seperti berikut:

#1 Boleh tidak bersetuju

Anda berhak untuk tidak bersetuju menerima serahan milikan kosong rumah tersebut dan menganggap serahan milikan kosong itu tidak sah dari segi undang-undang.

Caranya adalah:

  • Tidak menandatangani sebarang perakuan penerimaan milikan kosong.
  • Menghantar surat kepada pemaju dan di cc kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), arkitek dan peguam untuk projek tersebut, menyatakan bahawa berdasarkan pemerhatian anda, anda yakin yang rumah tersebut masih belum siap dibina sepenuhnya, justeru serahan milikan kosong yang dibuat adalah dianggap tidak sah dan tidak sempurna.
  • Anda berhak dapatkan pendapat kedua secara rasmi daripada arkitek atau jurutera berkecuali untuk mengesahkan tentang status sebenar rumah tersebut sama ada telah sempurna siap dibina atau sebaliknya.
  • Sekiranya arkitek berkecuali menyatakan sebaliknya, maka surat pengesahan daripada arkitek tersebut bolehlah dilampirkan bersama-sama surat yang anda hantar kepada pemaju tersebut.

 

#2 Boleh buat aduan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Anda boleh membuat aduan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana PBT mempunyai kuasa di bawah S. 70 (22) – (24) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1975 (Pindaan 2007) untuk menyiasat sebarang tindakan pengeluaran CCC oleh Arkitek yang tidak mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan di samping mempunyai kuasa untuk mengarahkan agar pengeluaran CCC tersebut di tangguhkan atau dibekukan dan mengarahkan pihak yang berkenaan membetulkan segala ketidakpatuhan yang berlaku.

Kegagalan pihak Arkitek membetulkan segala ketidakpatuhan tersebut adalah kesalahan di bawah S.70 (27) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250 ribu atau dipenjarakan selama tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

#3 Boleh buat aduan rasmi kepada Lembaga Arkitek Malaysia

Anda boleh membuat aduan rasmi kepada Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) atas dakwaan kegagalan Arkitek tersebut melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Arkitek berdaftar mengikut undang-undang yang mana ianya adalah satu kesalahan disiplin di bawah Akta Arkitek 1967.

Jika sabit kesalahan arkitek tersebut boleh didenda sebanyak RM50 ribu dan sijil arkitek mereka digantung dan mereka juga boleh dipenjarakan.

#4 Boleh buat aduan rasmi kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Anda juga boleh membuat aduan rasmi kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat perkara tersebut dan sekiranya didapati pengeluaran CCC itu dibuat secara tidak sah dan tidak mengikut peringkat penyiapan progres pembinaan yang sebenar mengikut perjanjian jual beli, maka arkitek tersebut boleh didakwa di Mahkamah di bawah S.22F (1) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10 ribu tetapi tidak lebih daripada RM100 ribu atau boleh dipenjara selama tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bukan itu sahaja, pihak-pihak yang didapati bersubahat sama dalam melakukan perlanggaran dan ketidakpatuhan tersebut juga boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman yang sama seperti di atas.

 

#5 Buat laporan polis atau pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Selain daripada itu anda juga berhak membuat laporan polis atau membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika didapati terdapatnya unsur-unsur rasuah atau tindakan pecah amanah jenayah dan sebagainya, maka pihak yang berkenaan boleh didakwa dan dikenakan hukuman yang sewajarnya di bawah Kanun Kesiksaan dan Akta Pencegahan Rasuah.

 

#6 Failkan tindakan sivil 

Dan akhirnya, selain daripada tindakan di atas, anda juga berhak memfailkan tindakan sivil ke atas pemaju dan/atau arkitek tersebut untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa CCC yang dikeluarkan adalah tidak sah dan perintah untuk mengarahkan pemaju menyiapkan pembinaan rumah tersebut dengan sempurna dan mengarahkan arkitek tersebut mengeluarkan CCC yang sah mengikut undang-undang. Selain daripada itu anda juga berhak menuntut gantirugi daripada pemaju dan/atau arkitek tersebut dan/atau pihak pihak lain yang difikirkan sesuai atas kerugian yang anda alami. Walau bagaimanapun anda perlulah membuktikan tuntutan tersebut di mahkamah.

 

Justeru, HartaGuam ingin menasihati semua pembeli rumah dengan pemaju agar memahami hak-hak mereka dari segi perundangan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika merasakan hak-hak mereka telah ditindas dan diinaya, terutamanya sekiranya menghadapi kes CCC dikeluarkan sedangkan bangunan belum disiapkan seperti di atas.

HartaGuam berpendapat adalah menjadi suatu yang malang kepada masyarakat sekiranya pihak profesional yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk menjaga kepentingan masyarakat melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang semata-mata untuk mengejar kepentingan diri sendiri.

HartaGuam juga akan terus memberikan kesedaran kepada masyarakat dari masa ke masa tentang hak-hak pembeli rumah dan bersedia membantu pembeli-pembeli rumah yang terinaya akibat perlanggaran undang-undang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut untuk menuntut hak-hak mereka berdasarkan peruntukan undang-undang.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Comments

comments