Apa itu Hakmilik Strata dan perkara penting sebelum membeli rumah kediaman jenis hakmilik strata?

0
3337
Sumber : Ed Aswandi
Sumber : Ed Aswandi

Korang tengah mencari rumah untuk dimiliki? Tahniah kami ucapkan atas usaha yang bagus tu. Antara impian ramai orang adalah memiliki rumah atas nama sendiri. Kan?

Dalam usaha mencari rumah yang sesuai, mesti korang ada baca istilah hakmilik strata.

Hakmilik strata ni apa dan apa yang perlu di ambil kira bagi membeli hartanah yang berstrata?

Sebelum korang makin pening, kami nak korang hadamkan perkongsian Tuan Ed Aswandi yang awesome sangat ni. Jemput hadam.

Q & A: HAK MILIK STRATA ANAK MUDA

Soalan #1 :

Salam bang, saya budak baru belajar dan masih banyak term yang saya tak faham. Asyik- asyik banyak sharing di FB ni goreng hal kewangan je memanjang. Boleh abang terangkan apa sebenarnya Hakmilik Strata ni ?

Jawapan #1 :

Perkataan STRATA ni merujuk kepada unit yang dipecah bahagi pada berbilang lapisan.
Hakmilik strata merupakan satu bentuk pemilikan untuk bangunan atau blok berbilang tingkat atau berbilang lapisan petak tanah yang dibangunkan di atas sebidang tanah. Contohnya rumah flat, pangsapuri, apartment, kondominium, townhouse dan rumah-rumah dalam skim gated dan guarded.


SKIM STRATA pula merupakan suatu pembangunan hartanah yang membahagikan bangunan atau tanah kepada petak-petak individu, petak aksesori dan harta bersama yang ditadbir secara self-governance oleh sistem perbadanan strata yang dikenali sebagai Perbadanan Pengurusan atau Managemant Corporation (MC). MC terdiri daripada pemilik-pemilik unit di dalam skim strata.

 

Sebelum itu andaikata hakmilik strata masih belum dikeluarkan, maka pihak pemaju hendaklah menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) dalam tempoh 12 bulan dari dari tarikh mengambil kunci rumah. JMB dianggotai oleh semua pemilik unit strata di dalam satu-satu bangunan tersebut serta wakil dari pihak pemaju. Kewujudan JMB hanyalah untuk sementara, bukan selama-lamanya. JMB akan dibubarkan apabila MC bagi bangunan itu ditubuhkan. Penubuhan MC berlaku setelah hakmilik strata telah dikeluarkan dan pihak pemaju memanggil Mesyuarat Agung Tahunan MC yang pertama.


Dalam strata, petak- petak atau petak individu dikenali juga sebagai unit, iaitu unit setiap rumah pembeli yang boleh jadi ianya mempunyai saiz yang berbeza. Biasalah dalam 1 projek apartment pun ada size unit kecik, besar dan layout yang berlainan, tetapi ianya tetap dibina diatas sebidang tanah.


HARTA BERSAMA pulak adalah merujuk kepada mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak. Contohnya tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, kolam, taman, pondok pegawai keselamatan etc.


PETAK AKSESORI pulak adalah petak lain yang digunakan secara eksklusif oleh tuan punya unit hakmilik strata. Contohnya, tempat letak kereta khas yang ditetapkan yang hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh pemilik unit.


Hak milik strata adalah sangat penting kerana ia sebagai bukti pemilikan bagi tujuan urusniaga. Contohnya jual beli, pindahmilik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka. Sama macam geran lah lebih kurang. Kalau takde geran, kita tunjuk ada tanah 100 Ekar pun orang tak percaya.

 

Soalan #2 :

Saya rancang nak beli rumah jenis Apartment. Apa yang perlu di lihat sebelum saya buat keputusan untuk membeli rumah kediaman jenis hakmilik strata?

Jawapan #2:

Membeli rumah kediaman jenis hakmilik strata, kita bukan sekadar membeli rumah tetapi ia seolah membeli sekali komuniti masyarakat yang dikawal selia oleh undang- undang di bawah Akta Pengurusan Strata. Kita sebagai pembeli, bukan sahaja memiliki dan bertanggungjawab untuk unit rumah kita tetapi juga harta bersama dalam pembangunan atau keseluruhan dalam kawasan perumahan kita seperti taman, lift, kolam, bangunan, guard etc.


Didalam perumahan jenis strata, tidak kira rumah yang kita beli diduduki atau tidak, terdapat kewajipan yang berterusan sehingga kiamat iaitu untuk kita membayar Maintenance Fee bulanan dan Sinking Fund sehinggalah kita melepaskan hakmilik menjual rumah tersebut kepada pemilik lain.


Andaikata kita ingin melepaskan menjual rumah tersebut, pastikan bahawa sesebuah rumah strata tersebut tidak mempunyai tunggakan hutang service charge & singking fund ke pihak pengurusan dan apa- apa deposit yang dibayar akan dipulangkan dengan sewajarnya. Ini cakap sewa cashflow lebat tapi hutang maintenance menimbun- nimbun tak bayor.


Selain daripada perjanjian jual beli (SPA), kebiasanya kita juga akan menandatangani surat ikatan perjanjian bersama (Deed of Mutual Covenants), iaitu surat ikatan yang mengawal hubungan komuniti antara pemilik- pemilik lain dalam satu pembangunan yang sama dengan peraturan perumahan yang ditetapkan oleh undang-undang di bawah akta pengurusan strata. Sebagai tambahan kepada pematuhan peraturan ini, kita juga diharapkan untuk turut serta dalam pengurusan hak milik bersama di dalam Mesyuarat Agung tahunan (AGM) serta Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Ini komplen no 1 itu ini semua komplen tapi suruh datang AGM tak pernah nampak batang hidung.

 

Soalan #3 :

Share Unit didalam rumah kediaman berstatus strata tu apa kebendanya bang ?

Jawapan #3 :

Share unit tidak dapat dipisahkan dan sentiasa berada dalam kehidupan perumahan strata kerana apabila strata title dikeluarkan, ianya akan dinyatakan dalam hakmilik strata. Nak senang cerita ingat berapa sen bayaran maintenance fee untuk sekaki persegi. Makin besar saiz unit kita maka makin mahal lah kena bayar maintenance fee bulanan.

 

Setiap petak akan dikumpulkan unit syer dan ditunjukkan di dalam pelan strata. Jumlah terkumpul unit syer adalah berbeza bergantung kepada pelbagai faktor seperti saiz unit, lokasi unit, harga jualan unit, harga pasaran unit dan lain-lain. Pembayaran caruman adalah berdasarkan terkumpulnya unit syer bermaksud semakin besar unit syer makin tinggi caruman yang dibayar.

 

Benda ni kita tak perlu tahu sangat pun takpe, biasanya pihak pengurusan JMB akan akan berurusan dengan PBT. Ada formula yang perlu dimasukkan untuk pengiraan share unit.


Share unit bagi petak = (A x F1 x F2) + (B x F3)
A adalah kawasan petak
B adalah kawasan petak aksesori
F1 adalah faktor pemberat bagi jenis petak
F2 adalah faktor pemberat bagi petak lantai keseluruhan
F3 adalah faktor pemberat bagi petak aksesori

Sebelum nak beli rumah, pastikan kita ada ilmu. Jangan sekadar beli sahaja. Boleh?

Belajar sesuatu daripada perkongsian ini? Jemput SHARE kepada keluarga dan kawan-kawan korang supaya mereka pun tahu tentang hakmilik strata ni. Semoga bermanfaat.

Comments

comments