“Anak muda, baca 7 nasihat kewangan ni bila baru mula bekerja” – Amir

0
218

Dah belajar bertahun – tahun, akhirnya dapat juga konvo dan seterusnya dapat kerja, siapa yang tak seronok kan? Mestilah macam-macam dah plan bila dapat duit sendiri.

Tapi, jangan biarkan keseronokan ada duit sendiri menyebabkan korang leka. Silap hari bulan, tak sampai hujung bulan pun gaji dah habis!

Cari ilmu menguruskan kewangan dengan baik dan mula fikirkan masa depan secara serius.

Untuk korang yang masih tak tahu bagaimana nak mulakan, jemput hadamkan perkongsian ilmu Tuan Amir Syahir yang bagus ini.

Tahniah saya ucapkan kepada anak muda yang baru menghadapi scene baling topi konvokesyen ke udara secara berjemaah.

Sekarang sudah masanya korang memulakan hidup sebagai pekerja. Mulakan dengan membuat pelan dan menguruskan kewangan sendiri.

Antaranya:

#1 Mulakan Dengan Menyimpan Pendapatan

Apabila dah dapat gaji sendiri terus mulakan menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji. Janganlah nak tunggu gaji tinggi baru nak belajar menyimpan. Simpan RM100 sebulan pun okay. Kalau tak mampu sangat, simpan la sebulan RM50 sebagai permulaan.

#2 Merangka Bajet

Belajarlah merangka bajet untuk mengetahui kemana duit korang akan pergi.

Pandai-pandai koranglah merangka perbelanjaan bila dah dapat gaji. Tapi ingat, bila buat bajet tu kena ikut kemampuan sendiri, bukan ikut kemampuan orang lain ye.

#3 Monitor Perbelanjaan

Dah ada bajet kewangan, korang kenalah pantau dan pastikan tidak terlalu lari daripada bajet. Kalau bulan ni kantoi, bulan depan korang kena bagi mantap balik. Ini tidak, setiap bulan rabak, susah jugek. Tambah-tambah lagi bila nak pujuk makwe merajuk. Korang terpaksa beli barang yang mahal.

Jangan pandai buat bajet je tapi tak guna. Jangan jadikan bajet korang hanya sebagai hiasan.

#4 Mulakan Melabur

Mulakan melabur di instrument pelaburan yang diyakini. Duit korang boleh cepat bertambah. Boleh mula di TH ataupun ASB. Nak melabur guna ASBF boleh juga. Kumpul duit deposit rumah dengan tool ASBF. Korang boleh disiplin menyimpan. Jangan masuk skim cepat kaya dah la ye.

 

#5 Rancang Matlamat

Rancanglah matlamat masa hadapan. Sediakan pelan untuk 3, 5, 10 tahun akan datang dan pelan jangka panjang. Kalau takde perancangan susah korang nak nampak apa yang korang nak capai pada tahun-tahun mendatang.

If you fail to plan, you plan to fail. Jadi, fikir-fikirkanlah.

#6 Tangguhkan Kehendak

Siapa yang tak nak naik kereta mewah, pakai baju berjenama, ber-selfie depan cermin tandas sambil pegang IPhone X ataupun lepak dekat pondok teduh di Pulau Bora-Bora kan?

Tapi ingatlah, tak rugi kalau korang tangguhkan seketika segala impian tu. Gaji korang mungkin rendah lagi sebab baru je bekerja. Lagi 5-10 tahun bila gaji korang dah kencang beli lah apa yang korang nak beli pun.

#7 Perlindungan Takaful Dan Tabung Kecemasan

Peruntukkan sedikit kewangan korang untuk membuat dana perlindungan diri sendiri. Kalau korang dah buat takaful di usia muda, bayaran bulanan lagi murah dan rendah. Korang juga buatlah tabung kecemasan untuk menghadapi saat-saat yang getir serta berliku. Manusia tidak akan terlepas daripada ujian Tuhan.

Di samping itu, korang kena ELAKKAN:

#1 Beli Kereta Mewah Sebagai Kereta Pertama

Kalau korang gaji RM2000 lebih, tapi dah nak pakai Honda Civic susah lah. Takkan beli sekadar nak pakai bawa makwe jalan-jalan je. Tapi pergi kerja naik bas. Punya tak de bajet nak isi minyak kereta. Korang beli kereta biasa pun okay. Beli kereta terpakai dulu. Kalau korang anak lelaki naik motosikal pun best. Masa hujan boleh merapatkan ukhuwah bersama brader-brader motor di bawah jambatan sambil berkongsi makan biskut Chipsmore.

#2 Guna Kad Kredit

Kalau asyik guna kad kredit tapi tak pernah bayar penuh setiap bulan, baik berhenti daripada guna kad kredit. Kad kredit boleh dikatakan pembunuh senyap pengurusan kewangan korang.

#3 Jadi Penjamin Pinjaman

Kalau pak sedara sebelah awek korang nak jadikan korang penjamin pembiayaan peribadi dia, korang tolak lah mentah-mentah tanpa perlu berfikir panjang. Bukan apa, banyak kes orang jadi penjamin ni selalu tersempit dan terhimpit.

#4 Pinjam Duit Bank Untuk Kahwin

Bila korang dah rancang nak kahwin lepas habis universiti tu, kalau boleh tak payah lah pinjam duit bank. Pandai-pandai korang lah. Nak buat ASB ke, simpan dekat Tabung Haji ke. Kumpul sendiri ataupun pinjam duit adik-beradik sendiri.

 

Jangan lupa nak bayar balik PTPTN tu. Karang korang nak pergi travel dekat Maldives ke, Bandung ke akan tersekat. Masa tu mulalah nak benci ke PTPTN. Masa nak sain borang PTPTN tunggu lama pun takpe, janji dapat duit PTPTN.

Perjalanan kerjaya dan liku-liku kehidupan korang masih panjang. Jangan mudah putus asa dan mudah berpuas hati dengan prestasi semasa. Keluar daripada zon selesa dan belajarlah ilmu baru setiap hari.

Perangai nak emo bila tengok pakwe bluetick mesej WhatsApp tapi tak balas tu korang dah boleh kena kikis dah. Kena mula berfikir di luar kotak. Kah!

Comments

comments