8 risiko beli rumah secara sambung bayar ansuran pinjaman perumahan penjual yang anda patut tahu

0
6913

Sekarang ini ramai pula orang yang beli rumah secara sambung bayar ansuran pinjaman perumahan penjual.

Misalnya, A masih mempunyai baki pinjaman perumahan dengan Bank XYZ sebanyak RM200K. Beliau jual rumah tersebut kepada B dengan harga RM250K. B akan membayar deposit (baki beza) harga jual beli sebanyak RM50K kepada A. Bakinya, B akan jelaskannya secara sambung bayar ansuran bulanan pinjaman rumah A tersebut sehingga selesai.

Sebagai balasan, kedua-duanya menandatangani satu perjanjian jual beli bersyarat dan A memberi kebenaran kepada B untuk mendiami rumah tersebut sehingga habis bayar. Selepas habis bayar barulah pindah milik dibuat kepada B.

Biasanya modus operandi jual beli rumah sedemikian di praktiskan oleh penjual yang mempunyai masalah kewangan dan perlukan wang tunai segera. Dan pembeli pula menghadapi masalah kelulusan pinjaman bank.

Tahukah anda, transaksi jual beli hartanah sebegini adalah berisiko.

Antara risiko membeli rumah menggunakan pendekatan sedemikian adalah :

 

1. Perjanjian jual beli sedemikian bukanlah satu jenis transaksi jual beli yang biasa dan ianya bertentangan dengan amalan guaman jual beli hartanah biasa yang ditetapkan oleh prosedur perundangan.

 

2. Penjual masih mempunyai tanggungjawab dan liabiliti terhadap bank untuk menjelaskan pinjaman perumahan tersebut, walaupun kononnya tanggungjawab itu telah dipindahkan kepada pembeli.

Sekiranya pembeli gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan tersebut kepada bank sebagaiman yang ditetapkan, bank tetap akan mengambil tindakan terhadap penjual, bukannya kepada pembeli. Ini kerana perjanjian pinjaman perumahan sebelum ini adalah antara penjual dengan bank.

 

3. Sekiranya pembeli tidak menjelaskan bayaran ansuran bulanan, bank juga berhak ambil tindakan prosiding lelongan terhadap rumah tersebut.

 

4. Selagi pinjaman tidak dijelaskan sepenuhnya, urusan pindahmilik tidak boleh dibuat daripada penjual kepada pembeli, kerana geran asal rumah tersebut masih dipegang oleh bank.

 

5. Sekiranya penjual meninggal dunia semasa transaksi tersebut berkuatkuasa, rumah tersebut masih akan dikira sebagai harta pusaka penjual kerana di dalam geran masih lagi atas nama penjual. Maka waris penjual masih berhak menuntut terhadap rumah tersebut.

Begitu juga sekiranya pembeli yang meninggal dunia. Rumah tersebut tidak boleh dituntut oleh waris pembeli sebagai harta pusaka pembeli kerana dalam geran masih lagi nama penjual.

 

6. Walaupun pembeli mendiami rumah tersebut dengan persetujuan penjual, ianya tidak boleh dianggap sebagai milikan kosong yang sah dari segi perundangan. Ini beerti pembeli tidak boleh membuat sebarang renovasi terhadap rumah tersebut.

Dan kalaupun renovasi dibuat secara tidak sah, rumah tersebut beserta dengan segala renovasi yang telah dibuat masih kekal milik penjual dan sekiranya rumah tersebut terpaksa diserahkan kembali kepada penjual, pembeli tidak boleh menuntut segala kos renovasi yang telah dilakukan terhadap rumah tersebut daripada penjual.

 

7. Walaupun ada perjanjian jual beli, surat akuan bersumpah dan lain-lain dokumen kononnya untuk mengesahkan transaksi tersebut, dokumen-dokumen tersebut tidak boleh dianggap sah secara otomatik. Sebaliknya ianya masih perlu disahkan di mahkamah terutamanya apabila ianya melibatkan perbalahan antara kedua-dua belah pihak.

 

8. Sekiranya berlaku perbalahan, pastinya ia akan melibatkan isu yang complicated untuk diselesaikan. Pembeli pasti seboleh yang mungkin tidak akan serahkan balik rumah yang telah beliau diami tersebut kepada penjual atas alasan beliau telah jelaskan bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan penjual kepada bank atau telah buat renovasi pada rumah tersebut.

Manakala penjual atau waris beliau pula pasti akan mendakwa yang beliau tetap ada hak terhadap rumah tersebut kerana dalam geran masih nama beliau. Jadi jika ini berlaku jalan penyelesaiannya adalah melalui proses mahkamah. Apabila melibatkan proses mahkamah sudah pasti ianya melibatkan kos guaman yang besar dan masa yang lama. Dan keputusan mahkamah sudah pasti akan berpihak kepada salah satu pihak sahaja. Maka akan ada pihak yang mengalami kerugian.

 

Maka berdasarkan alasan-alasan diatas, ELAKKANLAH daripada terlibat dengan jual beli rumah menggunakan cara tersebut. Anda mungkin dapat selesaikan masalah anda dalam jangka masa pendek tetapi dalam jangka masa panjang dibimbangi ianya akan menjadi bala pula kepada anda.

 

Sumber artikel disini

Sumber gambar

Comments

comments