7 tips bagaimana nak tingkatkan tabung simpanan 2018

0
689

 

Tahun 2017 baru je berlalu pergi. Macam mana dengan awal tahun 2018 korang? Dah sedia untuk buat lebih baik?

Apa saja yang kita dah lalui 2017, jadikan ia sebagai pengajaran.

Nak berubah memang tak senang namun tak mustahil pun. Tambah-tambah bab kewangan.

Apa kata tahun ni kita sama-sama buat sehabis baik untuk tingkatkan simpanan?

Jadi jom hadamkan perkongsian Tuan Amir Syahir tentang tips tingkatkan kewangan ni. Kami doakan semoga korang berjaya tingkatkan simpanan peribadi.

Tahun baru ni, ayuh menanam azam untuk mempunyai simpanan lebih banyak daripada tahun lepas.

Kalau kau tak boleh nak tambah pendapatan, kau kena kurangkan perbelanjaan.

Jom baca ini:

 

Tip #1 : Utamakan Keperluan, Tangguhkan Kehendak

Utamakanlah perkara yang penting terlebih dahulu. Kehendak tu bila-bila pun boleh beli. Misalnya, kasut itu keperluan tetapi berpasang-pasang kasut tu dah jadi kehendak.

Sebab tu penting senaraikan barang dan perkara yang penting bila dapat gaji. Barulah kita berada di landasan yang betul.

 

Tip #2 : Semak Balik Pakej Bil Telefon

Jika kau ada bil telefon, semak balik pakej yang diambil. Kalau boleh hadkan bil telefon hanya setakat RM100 paling maksimum. Sekarang ni dah banyak plan yang ditawarkan oleh syarikat komunikasi. Jadi, kau kena bijak memilih.

 

Tip #3 : Kurangkan Kunjungi Pusat Membeli Belah

Bukan maksud gua tak boleh pergi pusat membeli-belah. Boleh, tapi jangan selalu. Kalau ada barang yang nak beli barulah pergi. Kalau setakat nak window shopping tak payahla. Bukannya apa, memang akan terbeli pun barang yang tidak ada dalam senarai.

 

Tip #4 : Bawa Bekal Ke Tempat Kerja

Sarapan pagi di rumah. Sebelum pergi kerja, sarapan siap-siap kat rumah. Makan tengah hari pula boleh la bawa bekal. Jadi, dapatlah berjimat sikit. Ini tidak, daripada sarapan pagi hingga ke makan malam semuanya kat kedai.

 

Tip #5 : Kurangkan Makan Luar

Boleh makan luar tetapi kurangkan. Kalau tengah hari dah makan luar, malam masak la kat rumah. Hujung minggu pun boleh masak kat rumah. Tiap minggu lepak kedai kopi mahal, makan tempat mewah susah la. Sedar sikit kau tu beli Myvi zero downpayment. Tak mampu simpan downpayment kereta, nak simpan downpayment rumah lagi la susah.

 

Tip #6 : Pakai Sampai Habis, Guna Sampai Rosak

Janganlah terlalu kejar trend terkini sampai orang bank pun duk kejar kau asyik telefon suruh bayar balik ansuran hutang tu. Apa yang ada, pakai saja. Tak perlu tiap bulan beli pakaian baru. Dah ada telefon, jangan tukar selagi tak rosak. Kau tu dapat bonus RM500 je. Bukan RM5000. Ini dapat bonus semua benda nak beli. Semua benda nak tukar baru.

Tip #7 : Hiburan Percuma

Tak perlu pergi konsert berbayar lah jika mesin ATM asyik kata “Maaf baki anda tidak mencukupi”, tak perlu bayar saluran televisyen berbayar jika sekadar nak tengok drama cinta. Artis/pelakon kegemaran kau tu bukan pedulikan sangat tentang kewangan kau pun. Jadi, cari hiburan yang percuma. Pergi lepak pantai ke, bersatu dengan alam ke. Tengok buruj ke.

 

Tahun baru ni cuba lah berazam yang bijak sikit. Ini berazam nak kurus lah, padahal dah kurus. Nak putih lah, padahal dah cerah. Nak kaya lah, padahal kau malas nak menyimpan. Eh.

Orang duk kata kau kedekut tu lantak la. Janji kau suka menderma kat tabung masjid. Orang datang rumah kau, kau kasi minum air. Tu tak kedekut tu kan.

Pedulikan orang kata. Lantaklah mereka nak kata apa. Sampai bila hidup nak dengar apa orang cakap? Kalau orang tu bagi duit takpa gak. Kah!

Comments

comments