7 panduan pengurusan kewangan khas bagi pasangan baru berkahwin

0
249

Bila ada ilmu, insyaAllah kita boleh uruskan sesuatu dengan efektif. Terutama sekali dalam bab pengurusan kewangan.

Kali ni kami nak sentuh bab pengurusan kewangan bagi mereka yang baru berkahwin. Uruskan kewangan lepas kahwin sangat penting supaya tak ada lah rasa sesak nafas di awal perkahwinan.

Bagi korang yang baru mendirikan rumah tangga, jemput hadamkan perkongsian best dari Tuan Amir Syahir ni. Semoga korang dapat idea macam mana nak uruskan kewangan bersama pasangan masing-masing.

Pasangan Muda Baru Berkahwin WAJIB Baca.

Jika kau pandai uruskan kewangan, tak kira gaji kecil ataupun besar, kau pasti akan mampu menyimpan.

Kau kena ingat tindakan kewangan kau sekarang akan beri kesan yang besar dalam 5-10 tahun akan datang.

Bagaimana nak uruskan wang keluarga kau? 7 tips ini mungkin dapat membantu sedikit sebanyak. Jom baca.

 

Tips #1 : Merangka, Merekod & Analisa Perbelanjaan

Bila dah berkeluarga, banyak nak pakai duit. Jadi, kena ada bajet kewangan untuk kos barang keperluan setiap bulan.

Penting untuk merekod segala perbelanjaan keluarga. Paling tidak pun, catat segala belanja yang telah dibuat. Barulah tahu ke mana duit telah pergi. Nak beli barang dapur pun, senaraikan barang nak beli. Barulah tak borong satu kedai.

Bila dah sentiasa catat perbelanjaan setiap bulan, kau akan dapat mengesan dan menganalisa cara berbelanja.

Banyak aplikasi yang bagus contohnya My Tabung BNM, Money Manager, Spending Tracker dan sebagainya.

Tips #2 : Membuat Tabung / Pecahan Keperluan

Daripada pendapatan keluarga, eloklah merancang semua kos keperluan hidup dan perlu dibincang bersama-sama. Antara kategori yang boleh dijadikan panduan ialah;

  • Barang dapur
  • Belanja makan
  • Ansuran rumah
  • Ansuran kereta
  • Kos bil air & elektrik
  • Hiburan
  • Perlindungan takaful
  • Tabung simpanan
  • Tabung pelaburan
  • Tabung pendidikan anak-anak
  • Tabung kecemasan / luar jangka
  • Tabungan bercuti
  • Tabung pencen
  • Tabung baik pulih kenderan / rumah

Tabungan kecemasan amat penting kalau terjadi sesuatu diluar jangka dan kau ada tunai untuk digunakan.

Biar ada 3 bulan gaji dalam tabung kecemasan tu. Boleh simpan dalam Tabung Haji, ASB.

Tips #3 : Menyimpan dan  Melabur

Dapat gaji saja, simpan dulu sebahagian. Paling minimum adalah 10% dari gaji. Kalau dapat simpan 50% gaji, lebih bagus dan sangat digalakkan.

Biasa kau berbelanja dahulu, lebihan itulah baru dijadikan simpanan. Kalau tak boleh simpan, takpe. Kalau dapat simpan syukur. Tak boleh macam tu. Simpan RM100 sebulan pun okay.

Mulakan dengan melabur di instrumen pelaburan yang dijamin selamat. Antaranya ialah unit amanah Islamik, hartanah, pelaburan emas, ASB Financing, AHB dan sebagainya.

Tips #4 : Perlindungan Takaful

Lindungi keluarga dengan takaful. Banyak takaful yang bagus. Jadi, jangan ambil remeh hal ini. Biarlah tak ada Estro pun asalkan ada perlindungan takaful. Ini tidak, Estro bil beratus-ratus mampu bayar, takaful tak nak ambil. Bila dah dalam kesusahan dan kena bayar kos perubatan yang tinggi, mula la menggelupur menyesal.

Tips #5 : Pendapatan Sampingan

Jika kau rasa duit perbelanjaan sentiasa tak mencukupi, kau mungkin perlukan sumber pendapatan sampingan untuk menambahkan kewangan keluarga.

Cuba cari pendapatan sampingan yang halal dan tidak salah di sisi undang-undang. Seimbang juga dengan luang masa berkualiti bersama keluarga.

Boleh cuba buat Grabcar, Uber, jual online, jadi runner, ambil upah basuh kereta, ejen takaful dan sebagainya.

Tips #6 : Hindari Hutang Jahat

Apabila dah berkeluarga, banyak benda nak guna duit. Nak beli katil, almari, dapur semua. Ingat, jangan sampai berhutang. Kumpul duit, beli secara tunai lagi bagus daripada bayar ansuran. Tidur atas tilam lipat pun bukan dosa. Kawan datang duduk bersila tanpa sofa pun sedap juga bersembang.

Hutang jahat ini adalah hutang yang kau kena bayar setiap bulan tetapi tak menjana pulangan untuk keuntungan kau.

Contoh hutang jahat adalah hutang peribadi, hutang kereta jika ansuran bulanan lebih separuh gaji ataupun hutang kad kredit yang berlambak.

Tips #7 : Kad Kredit Cukup Satu

Jika pasangan kau ada dua kad kredit, kau pun ada satu, bila dah kahwin tutup semua kad kredit. Biar tinggal satu je.

Pergi beli barang dapur bersama, isi minyak kereta pun guna satu kad kredit je. Senang nak uruskan dan jaga kewangan. Kalau kau tak reti kawal penggunaan kad kredit, takde langsung pun molek juga.

 

Kalau setiap bulan tak ada lebihan wang, kau mungkin ada masalah kewangan. Ubahlah gaya hidup tu. Kalau dulu suka lepak kedai hipster je manjang, sekarang cuba lepak dua tiga kali je. Boleh lepak tapi biarlah berpada-pada.

Gaya hidup yang suka bermewah dan suka berlakon kaya ni eloklah dibuang jauh-jauh. Sekarang memang tak nampak kesan dia, bila kau dah berumur 35 tahun ke atas, masa tu banyak nak guna duit. Masa tu la kau rasa terhimpit dan terbeban.

Utamakan keperluan asas terlebih dahulu barulah kejar kehendak. Kalau layan sangat kehendak memang tak akan habis. Kah!

Kita tak tahu apa yang bakal terjadi di masa depan. Mulakan urus kewangan dengan baik. Tak mengapa kalau suami isteri baru mula nak belajar tentang kewangan. Lagi elok daripada leka. Bila suami isteri bijak kewangan dan pelaburan, bolehlah rancang masa depan dengan lebih teratur.

Tahniah kami ucapkan bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga.

Comments

comments