6 tanda anda sedang hadapi masalah kewangan yang serius

0
1844

Bila dapat gaji, apa yang kita buat dengan duit tu? Urus secara baik ataupun tidak?

Kadang-kadang, kita tak sedar kewangan dah bocor. Sampai tengah bulan, sengkek. Mestilah taknak terus berlaku kan?

Ada 6 tanda korang sebenarnya tengah hadapi masalah kewangan. Nak tahu apa tanda-tanda tu?

Kalau korang serius nak tahu, jemput baca perkongsian Tuan Firdaus Pay ni. Hadamkan betul-betul. Semoga kewangan korang bertambah baik.

Semalam saya ada ketengahkan masalah anak muda yang muflis di usia yang muda. Perkara ini boleh juga terjadi kepada kita jika kita tidak ada kesedaran perancangan kewangan dan mengamalkan gaya hidup diluar kemampuan.

Anda bebas untuk menguruskan kewangan anda sendiri tapi pengurusan wang yang tidak berdisiplin akan menjuruskan diri anda kepada krisis atau masalah kewangan.

Jika wang anda tidak diuruskan dengan baik, hutang anda akan meningkat, yang seterusnya akan mengakibatkan tekanan ke atas diri dan kehidupan anda khususnya tekanan mental.

 

Anda sedang menghadapi masalah kewangan jika anda:

 

Simptom #1 : Tidak Dapat Mengawal Perbelanjaan Iaitu Perbelanjaan Melebihi Pendapatan

Ini adalah masalah biasa yang akan kita hadapi jika kita lebih mementingkan kemahuan berbanding keperluan. Perbelanjaan asas keperluan adalah seperti sewa rumah/ ansuran bulanan rumah, bayaran kereta, bil utiliti, serta keperluan asas yang lain.

Perbelanjaan tak dapat dikawal melebihi pendapatan akan membawa kepada krisis kewangan dalam jangka masa panjang. Itu belum kira perbelanjaan luar kawalan menggunakan kad kredit. Parah!

 

Simptom #2 : Hutang / Loan Melebihi Daripada Apa Yang Boleh Anda Uruskan

Kita suka berhutang untuk kebanyakan benda. Yelah kan, bukan semua benda kita mampu beli secara tunai.

Itu tak salah, yang silapnya bila kita mempunyai kebergantungan kepada hutang yang tinggi. Kata omputeh, “high debt gearing ratio”.

Kadar kebergantungan tinggi kepada pinjaman peribadi juga salah satu masalah. Kita perlukan duit yang cepat, kita mohon pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang tinggi. Lagi teruk bila kita buat hutang untuk kambus hutang yang sedia ada.

Ini boleh mengakibatkan krisis kewangan yang serius jika masalah ini tidak dibendung dari awal. Jika kita banyak hutang, kita perlu cari pendapatan tambahan atau kurangkan perbelanjaan yang tak perlu.

 

Simptom #3 : Kadar Kebergantungan Pada Kad Kredit Sangat Tinggi

Bila masa perbelanjaan melebihi pendapatan, cara penyelesaian singkat jangka pendek adalah dengan berbelanja menggunakan kad kredit.

Kad kredit ini adalah unsecured lending atau pinjaman yang tidak memerlukan cagaran. Tapi kadar faedah biasanya sekitar 15-18% setahun.

Berdasarkan pengalaman saya, kad kredit ini agak “berhantu” kerana anda tidak memerlukan wang tunai untuk berbelanja. Nak beli apa-apa, hanya perlu “swipe” sahaja! Senang kan?

Tapi impaknya sangat besar, jika penggunaan kad kredit secara berlebihan tanpa kawalan, kadar hutang anda akan meningkatkan dengan lebih cepat kesan dari kadar faedah yang tinggi. Bayar pula hanya bayaran minima bulanan (sekitar 5% dari baki semasa hutang kad kredit). Masalah hutang kad kredit pula akan menghantui hidup anda.

 

Simptom #4 : Tidak Mampu Untuk Membayar Segala Kos Penyelenggaraan Rumah Dan Insurance / Roadtax Kereta Secara Teratur

Bila masa kita sudah tidak dapat membayar segala perbelanjaan asas kita secara teratur dan mengikut masa yang telah ditetapkan, kita sudah mempunyai simptom ke arah krisis kewangan.

Kita tidak mempunyai peruntukan untuk perbelanjaan secara tahunan seperti insuran/takaful kereta, kos penyelenggaraan kereta, serta cukai jalan, ini akan memburukkan lagi keadaan kewangan kita.

Pastikan kita mempunyai bajet serta sudah memperuntukan sebahagian simpanan perbelanjaan tahunan atau untuk perbelanjaan luar jangka. Contoh kereta pancit tiba-tiba.

 

Simptom #5 : Melambatkan Pembayaran Segala Bil Atau Kos Penyewaan

Bila perbelanjaan sudah tak terkawal, kita mempunyai kecenderungan untuk melambatkan pembayaran segala bil atau kos sewaan.

Bila anda mula lambat bayar, secara amnya anda sedang menambah bebanan hutang anda. Makin lambat anda bayar bil-bil atau kos sewaan, makin tinggi tekanan dari luar yang akan anda hadapi kerana ini semua melibatkan pihak ketiga.

 

Simptom #6 : Tiada Tabungan Untuk Menghadapi Kecemasan Peribadi Atau Keluarga

Kita tidak akan ada simpanan jika kita amalkan sikap belanja dulu kemudian simpan duit yang lebih. Macam mana nak ada simpanan jika perbelanjaan sentiasa melebihi pendapatan?

Kita patut amalkan sikap simpan dulu kemudian belanja. Boleh cuba cara tabungan secara potongan gaji atau potongan tetap berkala dari akaun gaji ke Tabung Haji, Simpanan ASB, atau pelaburan Unit Amanah. Cuma cara ini mungkin akan ada sedikit kesan ke atas permohonan pinjaman jika melibatkan potongan dari slip gaji. Yang ni saya akan ulas di lain kali.

Tabung kecemasan amat penting untuk kita dalam masa terdesak seperti hilang punca pendapatan secara tiba-tiba. Tabung kecemasan yang ideal bergantung kepada gaya hidup serta tahap perbelanjaan seseorang. Namun simpanan kecemasan sebanyak 3-6 bulan gaji adalah amat digalakkan. Lagi banyak lagi bagus.

 

Soalan saya, adakah anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom seperti di atas?

Pastikan anda kenalpasti tahap kewangan anda. Jika bermasalah, segera bertindak.

Sekadar ingatan bersama. Mencegah lebih baik dari mengubati

Mencegah adalah lebih baik. Sebelum kewangan korang jadi makin teruk, lebih baik korang mula alert tentang kewangan. Untuk kebaikan korang juga.

Kalau tak tahu, boleh mula bertanya. Ubah tabiat yang tak elok menjadi lebih elok.

Kami berani jamin jika korang elakkan diri dari simptom-simptom di atas, kewangan korang akan jadi lebih baik.

Perkongsian ilmu ini bermanfaat bagi korang? Boleh SHARE kat keluarga dan kawan-kawan yang nak mula urus kewangan secara bijak. Biar kita sama-sama bijak kewangan.

 

Comments

comments