Nak jadikan anak anda bijak kewangan? Baca 5 tips ini

0
2021
Antara tanggungjawab sebagai ibu bapa yang paling penting adalah mendidik anak. Alhamdulillah, bab ilmu akademik dan agama, ramai yang tiada masalah kerana boleh hantar anak ke sekolah.
 
 
Tapi ada satu ilmu yang tak diajar di sekolah tapi sangat penting untuk anak kita bila mereka dah besar nanti iaitu ilmu kewangan. Jadi nak tak nak, kita sebagai ibu bapa lah yang kena ajar sendiri.
 
 
Di sini saya nak kongsikan 5 tips bagaimana kita boleh terapkan ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan pada anak-anak kita. Masa kecil ni lah waktu terbaik untuk latih mereka, otak tengah fresh lagi, senang je nak serap ilmu macam sponge. Lagipun kita nak jadikan benda ni tabiat mereka, jadi kenalah start awal ye.
 
 
#1 Buat tabung bersama anak-anak
 
 
Pastikan setiap anak kita ada tabung masing-masing
 
 
Paling bagus kalau kita dapat luangkan masa dengan anak-anak dan buat tabung sendiri bersama mereka, barulah seronok. Boleh cari bekas atau tin terpakai dan adakan sesi buat tabung. Biarkan anak-anak hias sendiri tabung mereka dengan corak yang mereka mahu. Sambil-sambil tu, boleh berinteraksi dengan mereka tentang kepentingan menyimpan duit. Secara tak langsung, mereka akan mula komited untuk menyimpan tak kira berapa jumlahnya sekalipun.
 
 
 
Kalau kita tiada masa sekalipun untuk buat tabung sendiri, boleh bawa anak-anak ke kedai untuk memilih corak tabung yang mereka nak. Kedai seperti Kaison, Daiso, Mr DIY ada jual macam-macam jenis tabung. Bagi anak kita pilih sendiri tabung mereka supaya mereka seronok. Asalkan jangan pilih ‘PIGGY’ bank sudahlah.
 
 
#2 Ajar anak simpan wang yang mereka dapat
 
 
Yang ni sangat penting. Anak-anak kita ni selalu dapat duit daripada atuk, nenek, saudara mara dan ramai lagi. Kalau masa raya lagilah, mungkin duit raya yang mereka dapat boleh mencecah ribuan ringgit kalau datang daripada keluarga yang berada.
 
Ada sebahagian kanak-kanak, duit yang mereka dapat tu mereka terus belanjakan untuk beli permainan dan gadget. Bagi saya ini adalah tabiat yang kurang elok, sebab nanti anak-anak tu dah dibiasakan untuk belanja semua duit yang mereka dapat.
 
 
Lebih elok kalau semua duit raya tu dimasukkan dalam tabung, jangan digunakan langsung untuk belanja. Ajar mereka kepentingan menyimpan.
 
 
Untuk duit belanja sekolah pula, bagi lebih sedikit daripada yang mereka perlukan. Katakan mereka sebenarnya hanya perlukan RM5 sehari, kita bagilah lebih supaya mereka boleh masukkan dalam tabung. Seringgit sehari memang nampak sikit, tapi bila dikumpulkan setahun, jadilah banyak beratus ringgit.
 
 
Bila dah hujung tahun nanti, barulah kita pecahkan tabung dan kira. Katakan jumlah terkumpul adalah RM1000, bahagikanlah kepada beberapa bahagian. RM800 untuk disimpan di Tabung Haji, RM100 untuk mereka beli apa yang mereka nak dan RM100 lagi untuk mereka sedekah.
 
 
#3 Pergi bank atau Tabung Haji dengan anak-anak untuk bagi pendedahan
 
 
Memang leceh kalau bawa anak ke bank, yelah nanti mereka lari sana sini. Tapi apa salahnya bawa sekali sekala, terutamanya masa nak masukkan duit tabungan mereka ke akaun bank atau Tabung Haji.
 
Bagi mereka peluang untuk tekan butang giliran dan bawa mereka ke kaunter untuk mereka tengok sendiri macam mana duit mereka tu dikira. Bagi kita yang dah besar ni, memang benda ni biasa. Tapi bagi anak-anak kita, ini adalah pengalaman baru dan seronok bagi mereka. Lepas dah masukkan duit dalam akaun, tunjukkan kepada mereka pertambahan duit dalam buku akaun supaya mereka rasa semangat dan seronok. Percayalah, anak-anak memang akan rasa lebih seronok nak menabung lepas tu.
 
 
#4 Adakan sesi sharing tentang pelaburan dengan anak-anak secara santai
 
 
Biasakan berborak tentang pelaburan dan masa depan ketika ada masa terluang bersama anak-anak. Awal-awal mungkin mereka tak berapa berminat, tapi kita kena pandai-pandailah ambil hati mereka. Gunakan bahasa yang mereka boleh faham, jangan guna bahasa tahap tinggi yang kita sorang je faham.
 
Sebagai contoh, beritahu anak-anak kenapa lebih baik simpan duit di Tabung Haji daripada simpan dalam tabung di rumah sahaja. Katakan kepada mereka, kalau simpan duit di rumah, simpan RM100 akan maintain RM100 je. Tapi kalau simpan di Tabung Haji, nanti Tabung Haji akan bagi untung pada kita. Tunjukkan bahagian bonus dalam buku akaun supaya mereka lebih jelas.
Kalau kita melabur dalam hartanah pula, bawalah mereka melawat rumah yang dibeli. Terangkan kepada mereka kenapa kita beli iaitu kalau sekarang beli pada harga RM400,000, dalam tempoh 20 tahun bila anak kita dah besar nanti, harga akan naik mungkin sehingga RM1 juta. Barulah mereka faham kenapa kena beli rumah.
 
 
In sha Allah bila mereka dah besar nanti, mereka faham kepentingan melabur dan akan lebih cepat mula melabur berbanding rakan-rakan mereka yang lain.
 
 
#5 Sedekah guna duit sendiri
 
Akhir sekali, kita kena latih anak-anak bersedekah sejak dari kecil menggunakan duit yang mereka ada. Kalau boleh, didik anak untuk bersedekah setiap hari walaupun hanya 10 sen. Kita nak anak kita ni biasa bersedekah supaya bila mereka besar nanti mereka tak kedekut. Dan in sha Allah bila banyak bersedekah, akan murah rezeki.
 
 
Kalau kita bagi duit belanja pada mereka, lebihkan sedikit beberapa puluh sen atau seringgit. Bila kita bawa mereka ke masjid, ajar mereka untuk sedekahkan duit lebih tersebut. Secara tak langsung, kita pun dapat banyak pahala sebab duit tu asalnya daripada kita juga, tambah lagi pahala sebab ajar anak buat baik.
 
 
Jadi apalagi, lepas dah habis baca, jom terus praktik tips-tips ini. Mudah-mudahan anak kita nanti lebih pandai uruskan kewangan berbanding kita.
Sumber gambar

Comments

comments