5 kesilapan pelaburan yang anda mungkin sedang lakukan. Sila hentikan sekarang.

0
781
Sumber gambar : livebystocks.com
Sumber gambar : livebystocks.com

 

 

Dalam melabur, biasanya fokus ramai orang adalah untuk mencari pelaburan dan teknik yang terbaik. Mencari pelaburan dan teknik terbaik adalah bagus, tetapi ramai tidak perasan bahawa cara termudah adalah dengan terlebih dahulu mengelakkan ‘kesilapan’ pelaburan supaya tidak mengalami kerugian.

 

Bahkan pelabur terhebat dan juga orang ke-2 terkaya di dunia iaitu Warren Buffet sangat mementingkan perkara ini. Beliau pernah berkata:

“ Peraturan no 1 dalam melabur adalah, jangan hilang duit.

Peraturan no 2 pula, jangan lupa peraturan no 1”

 

Berikut adalah 5 kesilapan pelaburan yang kita mesti elakkan supaya pelaburan kita betul-betul mendatangkan keuntungan.

 

Kesilapan No #1: Tidak Cukup Menyimpan

 

Untuk kita melabur dalam apa jua jenis pelaburan termasuklah unit amanah, saham, hartanah dan sebagainya, pertama sekali kita kenalah ada duit lebih dahulu yang disimpan.

 

Dah ada duit simpanan, barulah boleh digunakan sebagai modal untuk melabur. Kalau tiada duit, memang kita tak mampulah untuk melabur dalam apa jua jenis pelaburan pun.

 

Jadi sebelum kita sibuk-sibuk fikir nak melabur dalam pelaburan apa, pastikan kita mulakan menyimpan dahulu. Waktu terbaik untuk kita mulakan menyimpan adalah 10 tahun lepas, waktu kedua terbaik adalah sekarang. Jadi, mulakan menyimpan dari sekarang ye.

 

Kesilapan No #2: Tidak Membayar Diri Kita Dahulu (Pay Yourself First)

 

Dalam dunia pelaburan, ada satu konsep yang dipanggil sebagai “Pay Yourself First”. Maksudnya adalah, pada setiap bulan, apabila kita mendapat gaji, kita perlu tolak siap-siap dahulu bahagian untuk simpanan kita, dan barulah bakinya dibelanja.

Jumlah yang baik adalah sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan bulanan kita. Kalau gaji kita RM2000, pastikan setiap kali dapat gaji, asingkan dahulu 10% daripadanya iaitu RM200 untuk kita simpan. Wang yang disimpan kita boleh pilih nak letak di mana yang sesuai, antaranya Tabung Haji dan ASB. Kalau kita dah tahu cara melabur, boleh kumpulkan duit untuk dilaburkan dalam unit amanah, pasaran saham atau pun untuk buat deposit rumah.

 

Masalah ramai orang adalah, mereka mahu menyimpan tetapi hanya sekiranya ada baki gaji. Bila awal-awal dah berfikiran macam ni, memang takkan adalah baki untuk disimpan. Macam biasa, bila hujung bulan je, baki akaun kita dah hujung-hujung dekat kosong.

 

Kesilapan No #3: Tinggalkan Duit Dalam Akaun Simpanan Bank

 

Kadangkala kita ada banyak duit simpanan, tetapi semuanya dibiarkan di dalam akaun simpanan bank kita. Perkara ini sangat merugikan. Sebabnya akaun simpanan bank memberikan pulangan yang sangat rendah, antara 0-3% sahaja. Kita perlu ingat bahawa duit simpanan kita adalah wajib dizakatkan apabila melebihi nisabnya. Jadi kalau kena tolak zakat sebanyak 2.5%, pulangan kita mungkin adalah negatif.

 

Lebih baik kita simpan duit kita sekurang-kurangnya di Tabung Haji atau ASB. Tabung Haji sebagai contoh memberikan pulangan sekitar 5% dan biasanya lebih tinggi lagi. Dan yang lebih utama, pulangan tersebut telah pun ditolak zakat siap-siap. Ini belum lagi kalau kita laburkan duit simpanan dalam medium pelaburan yang memberikan keuntungan yang lebih tinggi seperti unit amanah, saham dan hartanah. Pastinya pulangan yang kita dapat akan jauh lebih tinggi berbanding dengan hanya biarkan duit kita di bank sahaja.

 

Kesilapan No #4: Tidak belajar sebelum melabur

 

Sebahagian orang mahu melabur, tapi tak mahu belajar terlebih dahulu, konon-kononnya tidak ada masa atau tidak ada duit untuk belajar.

 

Pertamanya, kalau tidak mahu belajar, lebih baik jangan melabur. Ini kerana, kalau kita tidak tahu apa yang kita laburkan, kita pasti akan rugi. Tengok sahaja di sekeliling kita, berapa ramai orang Melayu kita yang dah kerugian berpuluh ribu mahupun berjuta kerana tersalah melabur dalam Skim Cepat Kaya. Jadi kalau kita memang tak nak belajar mengenai pelaburan, jangan melabur. Sekurang-kurangnya duit kita masih selamat.

 

Keduanya, tak semestinya kita perlukan duit untuk belajar. Ramai je orang yang berkongsi macam-macam ilmu pelaburan di Facebook. Kalau kita google pun, banyak betul hasil penulisan mengenai pelaburan, tinggal untuk kita baca dan fahamkan sahaja. Kalau nak pergi kelas, ada sahaja sebenarnya kelas yang percuma di luar sana, Cuma mungkin kita yang tak cari. Kalau nak lebih faham, keluarkan sedikit duit untuk beli buku atau mula hadiri kelas berbayar mengikut kemampuan kita. Tak semestinya kena hadir kelas berpuluh ribu baru boleh melabur.

 

Ketiganya, pastikan kita faham dan semak dengan teliti sebelum buat pelaburan. Kalau kita betul-betul buat kajian sebelum melabur, pastinya tidak akan ada orang yang terjebak dalam Skim Cepat Kaya. Banyak betul sumber yang kita boleh rujuk. Bahkan kalau kita google sahaja pun, kita boleh tahu sama ada pelaburan itu sah atau tidak. Yang penting kita mesti ingat; “If it’s too good to be true, it’s probably a scam”.

 

Kesilapan  No #5: Membayar Terlalu Mahal Untuk Pelaburan

 

Satu konsep pelaburan yang masih ramai tidak tahu adalah, keuntungan pelaburan sebenarnya dibuat ketika kita “MEMBELI”, bukannya “MENJUAL”. Maksudnya adalah, sekiranya kita berjaya beli aset pelaburan dengan harga yang rendah, kita awal-awal lagi sudah untung.

 

Contoh mudah adalah dalam pelaburan hartanah. Katakan harga pasaran rumah yang kita mahu beli adalah RM400,000. Tetapi kerana kita berusaha membuat kajian dengan teliti, kita berjaya menjumpai rumah yang sama dengan harga RM300,000. Jadi di atas kertas, kita sudah untung seawal proses pembelian lagi. Orang yang tidak tahu konsep ini mungkin membeli pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran, misalnya RM450,000 dengan anggapan harga akan naik lebih banyak nanti. Mungkin harga memang akan naik lagi pada masa hadapan, tetapi ketika waktu pembelian, kita telah rugi RM50,000 apabila dibandingkan dengan harga pasaran.

 

Dalam pelaburan saham pun serupa. Harga saham sentiasa berubah-ubah. Ada masa tinggi, ada masa rendah. Saham Nestle pernah naik setinggi RM80 sesaham dalam 3 tahun kebelakangan ini dan pernah juga berharga serendah RM60. Kalau kita berjaya beli ketika harga rendah, kita sudah untung dengan harga sekarang iaitu RM78. Tetapi kalau kita beli pada harga yang tinggi, kita mungkin berada dalam kerugian.

 

 

Comments

comments