5 jenis surat kuasa wakil (Power of Attorney (PA)) dan kesannya yang anda harus tahu

0
8121

Isu tentang PA ini banyak menimbulkan kekeliruan bukan sahaja kepada orang awam malahan kepada pengamal undang-undang juga.

Ramai yang memberikan PA kepada seseorang tanpa mengetahui pun apakah kesan PA tersebut kepada dirinya dan transaksi (kontrak) yang dimasukinya.

Ini sangat bahaya sebenarnya kerana apabila seseorang memasuki sesuatu surat wakil kuasa dengan seseorang yang lain, ia seolah-olah memberikan kuasa yang ada padanya berkaitan dengan sesuatu kepentingannya kepada orang lain.

Maka untuk merungkai kekeliruan tersebut, di sini saya senaraikan jenis-jenis PA dan kesan masing masing terhadap transaksi yang dimasuki tersebut termasuklah berkaitan dengan pembatalan PA tersebut.

 

#1 Surat Kuasa Wakil Terhad (Limited PA)

Merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Pemberi Kuasa (Donor) kepada Wakil Kuasa (Donee) untuk tujuan-tujuan tertentu dan terhad sahaja dalam tempoh masa tertentu dan terhad sahaja.

Apabila tujuan atau tempoh masa tersebut telah berlaku/ selesai maka berakhirlah kuasa yang diberikan itu. Dan PA tersebut dianggap terbatal secara automatik.

Misalnya Roy (Donor) memberi kuasa kepada Putra (Donee) untuk menanam pokok jagung di atas tanahnya untuk tempoh masa 10 bulan sahaja mulai daripada tarikh PA. Sebaik sahaja pokok jagung telah ditanam dan tempoh 10 bulan tersebut berakhir, maka PA tersebut dianggap berakhir dan terbatal.

 

#2 Surat Kuasa Wakil Tidak Terhad (Unlimited PA)

Merujuk kepada kuasa yang tidak terhad yang diberikan oleh Donor kepada Donee untuk tempoh masa yang tidak terhad ie; selama-lamanya.

Dalam kes Unlimited PA, kuasa yang diberikan tersebut dianggap akan tetap berkekalan selama-lamanya melainkan ianya ditarik balik oleh Donor dengan persetujuan Donee atau kuasa tersebut diserahkan semula oleh Donee kepada Donor atas kerelaannya atau sekiranya salah seorang daripadanya meninggal dunia, atau hilang ingatan atau disahkan bankrup.

Misalnya Roy (Donor) beri kuasa kepada Putra (Donee) untuk majukan tanahnya dengan sebarang bentuk tanaman sampailah ianya mengeluarkan hasil yang berpanjangan.

Maka selagi tanah itu dimajukan oleh Putra dengan apa jua jenis tanaman dan ianya mengeluarkan hasil, maka kuasa tadi dianggap akan tetap berkekalan melainkan ianya ditamatkan oleh Roy dengan persetujuan Putra atau kuasa tersebut diserahkan semula oleh Putra kepada Roy atau sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia atau tidak siuman atau bankrup.

 

#3 Surat Wakil Kuasa Boleh Batal (Revocable PA)

Merujuk kepada PA yang boleh dibatalkan oleh Donor pada bila-bila masa walaupun tanpa persetujuan daripada Donee.

Misalnya Roy (Donor) beri Revocable PA kepada Putra (Donee) untuk uruskan tanahnya. Maka Roy boleh pada bila-bila masa membatalkan PA tersebut walaupun tanpa persetujuan daripada Putra.

 

#4 Surat Wakil Kuasa Tidak Boleh Batal (Irrevocable PA)

Merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Donor kepada Donee yang tidak boleh sewenang-wenangnya dibatalkan oleh Donor melainkan dengan persetujuan Donee ataupun Donee menyerahkan semula kuasa tersebut kepada Donor dengan kerelaannya, atau sekiranya salah seorang daripadanya meninggal dunia, atau hilang ingatan atau disahkan bankrup.

Misalnya Roy (Donor) beri Irrevocable PA kepada Putra (Donee) untuk majukan tanahnya.

Maka kuasa tadi dianggap tidak boleh dibatalkan melainkan ianya ditamatkan oleh Roy dengan persetujuan Putra atau kuasa tersebut diserahkan semula oleh Putra kepada Roy atas kerelaannya atau sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia atau tidak siuman atau bankrup.

 

#5 Surat Wakil Kuasa Atas Balasan Yang Ada Nilai (PA For Valuable Consideration)

Merujuk kepada wakil kuasa yang diberikan oleh Donor kepada Donee tertakluk satu balasan yang bernilai yang diberikan oleh Donee kepada Donor.

Misalnya Putra bagi pinjam wang sebanyak RM20 ribu kepada Roy. Sebagai balasannya, Roy serahkan tanahnya dan beri kuasa kepada Putra untuk memajukan tanah tersebut dan segala hasilnya akan dijual oleh Putra sehinggalah selesai hutang tersebut.

Dalam kes PA sedemikian, ia dianggap tetap berkuatkuasa sehinggalah balasan tersebut sempurna keseluruhannya.

Untuk maklumat lanjut sila rujuk Seksyen 5, 6 & 7 Power of Attorney Act 1949.

Adakah sesuatu PA itu akan mengikat waris-waris kedua-dua belah pihak?

Bilakah kuasa tersebut dianggap bermula berkuatkuasa dan dianggap berakhir?

Adakah PA tersebut perlu didaftarkan dan apakah kesannya sekiranya ianya tidak didaftarkan?

Insya Allah saya akan kongsikan jawapannya dalam posting yang akan datang.

Moga perkongsian ini bermanfaat. Insya Allah.

Terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR 
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Comments

comments