10 tips panduan matlamat kewangan bagi anak muda

0
374

“Jika kita gagal untuk merancang, kita sedang merancang untuk gagal”

Masih belum terlambat lagi untuk kita mula merancang kewangan dengan bijak. Mulakan 2019 ni. Apa yang kita lakukan sekarang, boleh mempengaruhi masa depan kita.

Tambah lagi dalam bab kewangan.

Takkan nak selamanya tak cakna pasal duit. Kita mestilah nak masa depan yang lebih baik kan?

Kami kongsikan panduan matlamat kewangan yang korang boleh ada sebelum capai usia 30 tahun. Jom kita sama-sama hadamkan perkongsian Tuan Amir Syahir ni. Semoga bermanfaat.

Usia muda kita sangat berharga. Apa yang kita buat di usia muda akan memberi kesan kepada kita di usia tua kelak. Orang hipster dan urban macam kau cakap,

“Alahh, rilek la, kita muda lagi. Enjoylah puas-puas. Jom travel dulu. Tengok dunia”

Enjoy biar berpada-pada ye. Jangan berhutang sakan. Masuk umur 40 tahun mula la nak menyesal. Baru nak kenal erti penyesalan.

10 perkara di bawah bolehlah dijadikan sebagai panduan matlamat kewangan sebelum kau berusia 30 tahun:

#1 Mempunyai Sumber Pendapatan Sendiri

Tak kiralah apa pun pekerjaan kau yang penting kerja yang halal dan sah di sisi undang-undang. Kau sudah ada kerja yang kau suka buat. Kau boleh hadapi tekanan kerja. Kau ada pendapatan yang baik dan tetap.

Apa yang penting usaha. Usaha cari pendapatan dan stabilkan keadaan ekonomi kau. Bukan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

#2 Menguruskan Wang Dengan Baik

Tidak kiralah apa pun kerja kau sama ada kau bekerja sebagai kejuruteraan pam minyak ataupun kejuruteraan cashier, kau mestilah sudah mahir menguruskan hal ehwal kewangan sendiri. Kau dapat bezakan yang mana kehendak dan keperluan. Kau tahu aliran keluar masuk wang kau. Tidaklah bila dapat gaji, duit kau terus pupus tak tahu ke mana.

Buat bajet kewangan. Bila dah dapat gaji, rancang apa yang perlu dibayar, apa yang perlu dibeli dan sebagainya. Barulah kewangan kau akan lebih terurus.

#3 Mempunyai Tabung Simpanan

Mempunyai beberapa tabungan. Buatlah tabung simpanan, tabung kecemasan, tabung pelaburan, tabung umrah, tabung percutian dan pelbagai tabung untuk kegunaan kau. Tabung/dana kecemasan ini sangat penting disaat kita menghadapi ujian atau masalah. Sediakan tabung kecemasan sekurang kurangnya 3-6 bulan gajil kau.

Kalau kau tak dapat simpan banyak, cubalah simpan dengan nilai yang sedikit terlebih dahulu. Asalkan menyimpan.

#4 Membeli Sekurang-kurangnya Sebuah Rumah Sebagai Aset

Membeli sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai aset. Ya. Rumah. Sudah mula bekerja sila setkan minda membina tabung untuk membeli rumah.

Jika kau membeli rumah sebelum umur 30 tahun, ansuran bulanan menjadi rendah disebabkan boleh ambil tempoh pembiayaan yang panjang. Rumah mahal? Tak mampu simpan untuk deposit rumah? Teruskan menggali ilmu hartanah ni. Jangan duk main Facebook je.

#5 Mempunyai Pelan Pelaburan

Melaburlah dengan bijak. Jauhi skim cepat kaya, skim yang membawa keuntungan cepat. Realiti kekayaan tiada jalan pintas. Kalau berjaya kaya cepat pun, tak kekal lama. Banyak pelaburan di Malaysia yang dijamin kerajaan contohnya ASB. Simpan di tabung haji pun boleh juga asalkan tetap dan berterusan dan lebih 10% gaji setiap bulan.

Keupayaan melabur sebenarnya bergantung kepada keupayaan kau mengawal kehendak diri sendiri. Jangan cakap tak mampu sebelum mencuba. Tak mampu melabur banyak, melaburlah dalam nilai yang kecil terlebih dahulu.

#6 Mempunyai Perlindungan Pelan Takaful

Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Jadi, sediakan tabung untuk membiayai masa kau sakit nanti ataupun ditimpa kemalangan. Ambil takaful masa muda. Takaful itu penting.

#7 Memiliki Kenderaan Bersesuaian Dengan Kemampuan Gaji

Beli kereta tak salah. Yang salah adalah membeli kereta tidak sepadan dengan gaji. Gaji ciput tapi beli Honda City susah la. Habis separuh gaji buat bayar ansuran kereta. Nak makan pun duk pinjam kawan. Makan megi takpe, janji kunci kereta ada huruf H.

Ukur baju di badan sendiri. Beli kereta yang bersesuaian dengan pendapatan kau. Ini tidak, tak nak kalah dengan kawan yang pakai Honda City. Tengok la dulu. Gaji dia berapa dan gaji kau pula berapa.

#8 Belanja Mengikut Kemampuan

Tak perlu bergaya hidup mewah sekadar nak menunjuk ke kawan-kawan kau. Padahal dalam bank kau simpanan tak sampai empat angka pun. Just be yourself. Belanja dan bergaya ikut kemampuan kau.

#9 Bebas Daripada Hutang Jahat

Kau bijak memilih untuk berhutang. Kau tak berhutang demi perkahwinan yang gilang gemilang, kau bijak menolak hutang iPhone XS, kau tak buat hutang sofa dekat Courts. Jauhi hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.

#10 Mula Membina Keluarga

Saya percaya dengan adanya keluarga, kau mampu berubah daripada tak reti uruskan kewangan jadi orang yang reti uruskan kewangan. Sebab kau ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Isteri, anak-anak, mak dan ayah.

Ye la, lagipun ada seseorang yang boleh membantu kau dan memberi kau sokongan. Carilah teman yang membuat kau bahagia. Senyuman dia kebahagiaan kau. Cewah. Sesungguhnya perkahwinan itu membuka banyak pintu rezeki.

 

Tak cukup 10? Boleh tambah ikut matlamat dan azam korang. Yang penting kau kena ada target dan matlamat yang jelas, barulah kau boleh merancang kau punya pelan tindakan.

Kau tu berapa tahun lagi nak masuk umur 30? Tak sedar-sedar lagi ke? Masih duk konfius nak travel ataupun beli rumah? Kah!

Comments

comments